ISKANDAR PUTERI – Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bertitah, sasaran pembinaan 100,000 unit Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) menjelang 2030 perlu direalisasi kerajaan Johor.
Titah baginda, ini bagi memastikan semua rakyat negeri ini memiliki kediaman sendiri dan keperluan tersebut sentiasa menjadi keutamaan pihaknya dan usaha ke arah itu perlu diteruskan secara konsisten.
“Saya dimaklumkan sejak 2022, sebanyak 21,085 unit RMMJ telah disiapkan dengan lebih 16,000 telah didiami.
“Pada masa sama lebih 26,000 rakyat dibantu memilki rumah pertama; penyediaan subsidi bina baharu kepada 1,500 penerima; pemberian rumah percuma kepada lebih 1,000 ketua isi rumah dan membaiki pulih 4,000 rumah daif serta 12 projek perumahan rakyat telah dilaksanakan.
“Saya harap sasaran meningkatkan pemilikan rumah termasuk 40,000 unit RMMJ diamond menjelang 2027 serta mencapai 100,000 unit menjelang 2030 dapat direalisasikan melalui perancangan rapi dan berkesan,” titah baginda.
Tunku Ismail bertitah demikian ketika merasmikan Penggal Persidangan Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15 di Kota Iskandar, di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, baginda mengingatkan bahawa kekuatan sesebuah negeri terletak kepada kualiti modal insan yang dilahirkan khususnya melibatkan golongan muda.
“Saya ingin lihat pendidikan anak Johor terus berada pada landasan yang betul melalui pelbagai inisiatif yang telah dan sedang dilaksanakan secara tersusun dan berterusan. Saya bangga lihat perkembangan Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ),” ujar baginda.
Inisiatif itu titah baginda, sudah menunjukkan kemajuan memberangsangkan seiring dengan usaha kerajaan negeri memperluas sokongan kepada mahasiswa dan pelajar melalui pelbagai bentuk bantuan termasuk insentif, bantuan yuran persekolahan serta kemudahan pengangkutan dan tiket penerbangan. – MalaysiaGazette
















