Datuk Seri Shahril Mokhtar. Foto MOHD ADZLAN, 27 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Mokhtar menafikan mesej yang dihantar kepada Ketua Unit Pengadil, Kassim Kadir Bacha pada 23 Februari lalu dianggap sebagai bentuk rasuah atau cuba mempengaruhi keputusan pengadil.

Beliau menjelaskan, mesej itu dihantar selepas tamat perlawanan antara Selangor FC dan Kuching City FC dengan tujuan semata-mata untuk menyatakan rasa tidak berpuas hati terhadap keputusan pengadil pada minit akhir perlawanan yang pada pandangannya tidak melalui semakan video bantuan pengadil (VAR).

“Antara dakwaan yang dibangkitkan adalah seolah-olah saya memberi tekanan serta cuba mempengaruhi keputusan pengadil melalui mesej yang dihantar kepada Ketua Unit Pengadil, Kassim Kadir Bacha. Turut timbul persoalan sama ada tindakan itu boleh dianggap sebagai suatu bentuk ‘corruption‘ (rasuah).

“Adakah tindakan itu satu bentuk rasuah (‘corruption‘)? Jawapannya tidak. Tiada sebarang tawaran, imbuhan atau unsur yang boleh ditafsirkan sebagai rasuah dalam mesej tersebut.

“Adakah saya cuba mempengaruhi keputusan pengadil? Juga tidak. Sekiranya itu niat saya, mesej berkenaan sudah tentu dihantar sebelum perlawanan berlangsung, bukannya selepas ia berakhir.

“Selain itu, sejurus isu ini timbul, saya sendiri mengemukakan tangkap layar mesej berkenaan kepada Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan serta Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman dan memohon agar siasatan dijalankan sekiranya terdapat sebarang unsur rasuah atau cubaan mempengaruhi keputusan pengadil.

“Kenyataan ini dibuat bagi menjelaskan keadaan sebenar dari pihak saya. Saya juga tidak mahu Selangor FC dan Persatuan Bolasepak Selangor terpalit dengan isu ini, memandangkan dakwaan itu ditujukan kepada saya secara peribadi sebagai pegawai kelab,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

 

Sesi perbincangan meja bulat Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan wakil pasukan Liga Super turut disiarkan secara langsung di Facebook badan pengelola Liga M itu, semalam.

Beliau yang juga Ahli Lembaga Pengarah Selangor FC (SFC) turut berkongsi tangkap layar mesej berkenaan kepada umum.

Shahril tampil menjelaskan mengenai dakwaan yang mengaitkan dirinya cuba mempengaruhi keputusan pengadil dalam perlawanan Liga Malaysia (Liga M).

Dakwaan itu dibuat Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail pada sesi perbincangan meja bulat Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan wakil pasukan Liga Super yang turut disiarkan secara langsung di Facebook badan pengelola Liga M itu, semalam.

Semalam, Tunku Mahkota Ismail yang juga pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) mempersoal mengenai tindakan Shahril menghantar mesej kepada Ketua Unit Pengadil.

“Saya ada satu soalan kepada MFL. Saya tidak pasti kerana undang-undang bola sepak ini agak rumit. Jika mana-mana pegawai kelab menghantar mesej kepada pengadil dan memberi tekanan berkaitan dengan membuat keputusan, adakah ia dianggap sebagai satu bentuk rasuah atau tidak?

“Jadi saya rasa sebelum sesiapa bercakap mengenai pengadil, mungkin ini untuk Selangor FC lihat. Ini adalah perbualan Datuk Seri Shahril Mokhtar dengan Ketua Unit Pengadil,” titah baginda sambil menunjukkan tangkap layar mesej berkenaan.

Sementara itu, Shahril berharap perbincangan meja bulat rakan kongsi MFL itu dapat mencapai matlamatnya serta memberi manfaat kepada pembangunan bola sepak Malaysia. – MalaysiaGazette

Sesi perbincangan meja bulat Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan wakil pasukan Liga Super turut disiarkan secara langsung di Facebook badan pengelola Liga M itu, semalam.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast