MELAKA – Polis mengesahkan menerima lima laporan berhubung tindakan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang yang memuat naik imej suntingan memaparkan pelekat anjing pada gambar seorang ADUN kerajaan.
Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit.
“Setakat jam 4.10 petang ini, kita sudah menerima lima laporan polis berhubung kes ini.
“Kes bagaimanapun masih dalam siasatan,” katanya ringkas dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, hantaran dimuat naik ADUN Sungai Udang, Dr Mohd Aleef Yusof daripada Bersatu di Facebook rasminya itu mencetuskan kontroversi.
Ia apabila beliau menggunakan pelekat anjing pada wajah Abdul Razak yang juga Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri ketika berada dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).
Dalam hantaran itu, Dr Mohd Aleef mempersoalkan isu berkaitan operasi “floating market” serta mendakwa jawapan yang diberikan Abdul Razak pada Persidangan DUN semalam tidak jelas, sehingga menimbulkan suasana tegang. – MalaysiaGazette
















