Mohd Hisham Harun melancarkan perkhidmatan bas percuma 24 jam ke Masjidil Haram ke stesen Jarwal untuk jemaah haji Malaysia di Hotel Al-Tayseer hari ini.

MAKKAH – Buat julung kalinya, Lembaga Tabung Haji (TH) menyediakan perkhidmatan bas ulang alik dari Hotel Al Tayseer  ke Masjidil Haram untuk memudahkan pergerakan para jemaah haji Malaysia.

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd Hisham Harun berkata,  lapan buah bas yang disediakan 24 jam secara percuma ini adalah nilai tambah daripada perkhidmatan menyeluruh oleh TH bagi kesejahteraan jemaah.

“Ini merupakan komitmen TH dalam melaksanakan penambahbaikan berterusan terhadap penyampaian perkhidmatan kepada jemaah haji untuk tahun ini,” kata beliau.

Perkhidmatan bas secara ulang alik ini akan beroperasi dari Hotel Abraj Al Tayseer ke Stesen Bas Jarwal yang terletak berhampiran Dataran Masjidil Haram.

Operasi bas ini bermula hari ini selama 20 hari memandangkan selepas itu kemungkinan jalan laluan bas ditutup.

“Namun sekiranya jalan tidak ditutup, kita akan tambah bas. Ini sebagai fasa pertama perjalanan bas jemaah haji kita ke Masjidil Haram,” ujarnya.

Jemaah haji menaiki bas percuma ke Masjidil Haram.

Mohd Hisham berkata, TH akan menambah bilangan bas dari lapan kepada 12 buah apabila jumlah jemaah haji Malaysia semakin bertambah.

“Dengan adanya perkhidmatan bas ini, jemaah kini mempunyai alternatif untuk bergerak ke masjid setiap hari, pada bila-bila masa dengan lebih baik, lebih mudah dan lebih lancar serta dapat membantu mereka lebih fokus terhadap ibadah di Tanah Suci,” jelas beliau lagi.

Beliau berkata, operasi bas ini memang dalam perancangan TH tetapi ia lambat dimulakan kerana TH perlu mendapatkan permit dan perbelanjaan yang dibayar kepada syarikat bas.

Untuk perkhidmatan bas ini, TH membelanjakan sebanyak RM500,000 untuk tempoh 20 hari.

Hisham berkata, inisiatif ini diharapkan dapat membantu memelihara tahap kesihatan para jemaah terutamanya menjelang kemuncak musim haji iaitu hari wukuf memandangkan keadaan cuaca semakin panas di sini.

Mohd Hisham Harun (kanan) dan Ketua Operasi Maktab, Mohd Fahmi Kamarudin.

Menjawab soalan media, Mohd Hisham berkata, operasi bas disediakan di Hotel Al Tayseer kerana bergantung kepada permit dan ruang yang sesuai untuk mengaturkan perjalanan bas.

Bagaimanapun, jemaah haji dari Al Kiswah Tower Hotel dan Rehab Al Janadriyah boleh menggunakan perkhidmatan ini kerana ia terletak berhampiran Hotel Al Tayseer.

Bagi musim haji 1447H/2026M ini, TH menyediakan lima bangunan penginapan di Makkah untuk menempatkan 31,600 orang jemaah iaitu di Abraj Al Tayseer, Rehab Al Janadriyah, Al Kiswah Tower Hotel, Abraj Al Janadriyah dan Qasr Al Janadriyah.

Sementara itu, MalaysiaGazette yang menaiki bas ini mendapati perjalanan menaiki bas ini hanya mengambil masa antara 5 hingga 10 minit sahaja, bergantung kepada aliran trafik berbanding masa yang diambil kira-kira 30 atau 40 minit jika berjalan kaki.

Bas akan berhenti pintu A9 Stesen Bas Jarwal dan untuk balik, jemaah perlu menunggu di A2.

Melalui stesen tersebut jemaah haji hanya perlu berjalan kira-kira 300 meter ke Masjidil Haram, mengurangkan lebih separuh perjalanan berbanding berjalan kaki.

Hisham berharap, inisiatif ini dapat membantu memelihara tahap kesihatan para jemaah terutamanya menjelang kemuncak musim haji iaitu hari wukuf memandangkan keadaan cuaca semakin panas di sini.

Bagi musim haji 1447H/2026M ini, TH menyediakan lima bangunan penginapan di Makkah untuk menempatkan 31,600 orang jemaah iaitu di Abraj Al Tayseer, Rehab Al Janadriyah, Al Kiswah Tower Hotel, Abraj Al Janadriyah dan Qasr Al Janadriyah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast