MAKKAH – Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) menyediakan khidmat pelanggan yang beroperasi 24 jam, tujuh hari seminggu di sini bagi memastikan semua aduan dan maklum balas pelanggan dapat diselesaikan dalam tempoh yang telah ditetapkan.
Pengurus Unit Pusat Khidmat Pelanggan TH, Azrisham Mahmad berkata, jemaah haji boleh membuat aduan di kaunter khidmat pelanggan, yang terletak di Ibu Pejabat Tabung Haji di Abraj Tayseer dan di kaunter pusat perkhidmatan di semua maktab penginapan.
Pada tahun ini, TH turut memperkenalkan khidmat pelanggan secara mobile di penginapan di Hotel Tayseer yang menampung kira-kira 6,800 orang jemaah bagi membolehkan setiap aduan ditangani dengan segera.

Setakat ini, aduan tertinggi yang diterima adalah kerosakan bagasi, selain jemaah haji yang tersasar untuk kembali ke penginapan masing-masing.
Jelas beliau, aduan kerosakan bagasi ini diperlu diselesaikan dalam tempoh tiga hari dengan menggantikan bagasi baharu.
Bagi kes jemaah haji tersasar pula, aduan ini perlu diselesaikan dalam tempoh dua jam.
“Kebiasaannya jemaah haji tersasar ini berlaku semasa mereka melaksanakan umrah kali pertama dan terpisah dengan kumpulan masing-masing menyebabkan mereka mengikut kumpulan dari maktab lain.
“Ada juga jemaah haji tersasar apabila menaiki teksi dan berlaku masalah komunikasi menyebabkan mereka dihantar ke maktab penginapan lain.
“Apabila mendapat aduan ini, Pusat Khidmat Pelanggan akan menyediakan petugas untuk mengambil jemaah haji berkenaan dan dihantar pulang ke penginapan mereka. Aduan ini perlu diselesaikan dalam tempoh dua jam,” katanya kepada media di sini.

Mengulas lanjut, Azrisham berkata, setiap jemaah haji yang tersasar akan dikembalikan ke maktab masing-masing berdasarkan warna lanyard yang dipakai oleh mereka.
Bagaimanapun, beliau menjangkakan aduan jemaah haji tersasar akan berkurangan pada tahun ini kerana penginapan terbahagi kepada Zon A dan Zon B sahaja, lantaran itu pemantauan dan kawalan lebih mudah.
Beliau memberitahu, bagi memudahkan proses, aduan yang diterima dibahagikan kepada tiga kategori iaitu ringan, sederhana dan berat.
Selain dua aduan itu, Pusat Khidmat Pelanggan TH juga menerima aduan kehilangan Kad Nusuk dan Kad Pengenalan Diri Tabung Haji.
“Jika kehilangan Kad Nusuk, kita akan kemukakan kepada pihak lain memandangkan pengeluaran kad ini melibatkan pihak berkuasa.
“Tetapi penggantian kad pengenalan diri TH boleh diganti terus,” ujarnya.
Azrisham menambah, setakat ini aduan yang diterima dari jemaah haji masih terkawal memandangkan ketibaan mereka masih belum sepenuhnya. – MalaysiaGazette
















