Foto: JPJ Selangor

KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor menahan seorang lelaki dipercayai `ulat’ di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam, selepas disyaki menawarkan perkhidmatan kereta sewa tidak berlesen atau secara haram.

JPJ Selangor dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, sebuah kenderaan jenis Perodua Alza turut ditahan dalam operasi itu.

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek telah memujuk, merayu dan menawarkan perkhidmatan pengangkutan kepada seorang penumpang warganegara Pakistan dari Terminal 1 KLIA ke Seksyen 13, Petaling Jaya, Selangor dengan kadar tambang RM200 dan akan dibayar apabila sampai ke destinasi.

“Mana-mana mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 205(1), Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (APAD 2010), yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima (5) tahun atau kedua – duanya, jika sabit kesalahan.

“Sesiapa yang bersubahat melakukan aktiviti ‘ulat’ ini juga boleh didakwa mengikut Seksyen 243(1), di bawah akta yang sama,” katanya menerusi laman Facebook JPJ Negeri Selangor hari ini.

Tambah kenyataan itu, orang awam dinasihatkan agar menggunfakan perkhidmatan pengangkutan yang sah sama ada melalui kaunter perkhidmatan yang disediakan di Terminal 1 dan 2 KLIA atau membuat tempahan melalui aplikasi e-hailing.

“Untuk sebarang aduan trafik, orang awam boleh menyalurkan kepada [email protected] atau platform aplikasi e-aduan@JPJ beserta butiran pengadu dan butiran aduan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast