UMNO Bukit Bintang membantah festival muzik berkonsepkan air, Rain Rave Water Music Festival 2026.

KUALA LUMPUR – UMNO Bahagian Bukit Bintang menyeru umat Islam tidak menyertai festival muzik berkonsepkan air, Rain Rave Water Music Festival 2026 yang akan diadakan di sekitar Bukit Bintang bermula hari ini.

Katanya, program itu tidak selari dengan nilai, norma serta sensitiviti agama dan budaya masyarakat Malaysia.

Menurutnya, meskipun program itu tetap dilangsungkan, namun UMNO Bahagian Bukit Bintang telah menyatakan pendirian secara konsisten membantah penganjuran program tersebut sejak awal.

“Sebagai negara yang menitikberatkan keharmonian, setiap program awam perlu mengambil kira latar sosio-budaya tempatan bagi mengelakkan polemik dan persepsi negative,” katanya dalam satu kenyataan menerusi Facebook Bukit Bintang Command Center hari ini.

Sementara itu, UMNO Bahagian Bukit Bintang turut menggesa kerajaan untuk sentiasa peka terhadap aspek keselamatan, sensitiviti agama dan kesejahteraan sosial, serta meneliti dengan lebih teliti penganjuran program seumpama itu pada masa hadapan.

“UMNO Bukit Bintang komited untuk terus mempertahankan nilai-nilai murni, budaya, memelihara keharmonian masyarakat serta memastikan suara rakyat sentiasa diangkat demi kesejahteraan bersama,” katanya.

Festival muzik berkonsepkan air, Rain Rave Water Music Festival 2026 yang menghimpunkan artis tempatan dan antarabangsa akan berlangsung bermula hari ini hingga 2 Mei depan.

Acara berskala besar itu dijangka menjadi antara tarikan utama sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) dengan konsep unik yang menggabungkan muzik, elemen air dan visual interaktif. – MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast