Ketua Pengarah SNCC, Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby

KUALA LUMPUR – Sepuluh rakyat Malaysia antara 186 peserta Global Sumud Flotilla 2.0 (GSF 2.0) yang diculik tentera Israel di perairan antarabangsa baru-baru ini sudah dilepaskan di Pelabuhan Lerapetra di Kepulauan Crete, Greece.

Perkara itu disahkan Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center, Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby pada sidang media khas perkembangan terkini misi GSF 2.0, malam ini.

Katanya, setakat ini seramai 175 aktivis kemanusiaan GSF 2.0 dibebaskan termasuk 10 rakyat Malaysia dibawa ke Lapangan terbang Heraklion menaiki bas yang disediakan pihak berkuasa Greece.

Bagaimanapun menurut beliau, dua Ahli Jawatankuasa Induk GSF, iaitu Saif Abukeshek dan Thiago Avila masih dalam tahanan pihak rejim dipercayai bertujuan mengugut dan melumpuhkan misi.

“Pelepasan dari Lapangan Terbang Heraklion dijangka pada jam 10.15 malam waktu Malaysia dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul jam 11.45 malam waktu Malaysia,” katanya,

Menurut Sani Araby, kerajaan Turkiye menyediakan sebuah pesawat berkapasiti 160 penumpang untuk membawa pulang 20 aktivis kemanusiaan dalam kalangan rakyatnya yang turut ditahan.

Kerajaan Turkiye juga katanya mempelawa aktivis GSF dari negara lain untuk turut menaiki pesawat

“SNCC sudah berhubung dengan pihak Kementerian Luar bagi menyelaras urusan perjalanan aktivis Malaysia dari Greece ke Istanbul. Tiga wakil SNCC sudah berada di Istanbul untuk pengurusan dan penilaian,” ujar beliau lagi.

Tambah Sani Araby, daripada laporan diterima pihak SNCC, aktivis kemanusiaan GSF berdepan provokasi dan serangan fizikal ketika berada dalam tahanan rejim Israel.

Sepuluh rakyat Malaysia yang ditahan adalah pengasas ZRA Strim, Zainal Rashid Ahmad yang menaiki kapal Arkham III, Mohd Hanafi Mohd Salim (Bianca BCN), Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman (Bianca BCN), Norhelmi Ab Ghani (Bianca BCN), Hazwan Hazim Dermawan (Bianca BCN).

Turut ditahan, Osman Zolkifli (Eros 1), Dr Jihan Alya Mohd Nordin (Eros 1), Mohd Shamsir Mohd Isa (Esplai II), Mohd Redzal Amzah (Freia) dan Muhamad Muhsin Zaidi (Marea).

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast