KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Rafizi Ramli mengesahkan telah menerima notis daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.
Notis itu memintanya hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM Putrajaya pada Isnin, 4 Mei ini pukul 10 pagi.
Ia berhubung siasatan SPRM ke atas usaha sama kerajaan dengan gergasi perisian cip dunia, ARM Holdings.
“Saya jangka, selepas keterangan-keterangan saya diambil minggu depan, saya mungkin akan didakwa atas tuduhan pecah amanah atas alasan memberi maklumat yang salah, atau menyebabkan Jemaah Menteri menandatangani secara tergesa-gesa.
“Insya Allah, saya telah bersedia dengan pasukan peguam-peguam saya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Ahli Parlimen Pandan itu, kes itu akan menjadi perbicaraan yang panjang dan menarik kerana ramai pimpinan besar negara akan dipanggil menjadi saksi termasuk Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan menteri-menteri.
“Pada masa SPRM mengejar untuk mendakwa kami, pada masa yang sama juga kerajaan menjaja cerita kejayaan bagaimana usaha sama ini akan merevolusikan industri cip negara kerana kita akan mencipta sendiri cip untuk dijual, bukan memasang sahaja.
“Kes ini adalah satu lagi ingatan kepada ahli politik dan pegawai kerajaan lain di Malaysia: jangan jadi macam Rafizi, kalau tidak setuju sesuatu duduk diam-diam. Kalau tidak, kami ajar kamu dengan dakwa di mahkamah kes yang bukan-bukan,” katanya. – MalaysiaGazette
















