Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bersama Setiausaha Agung UMNO merangkap Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki pada Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-80 sempena Kongres Pendidikan Bumiputera 2026 di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 01 MEI 2026.

KUALA LUMPUR – Penyertaan ramai anak muda dalam Pertandingan Pidato Piala Ahmad Zahid Hamidi (AZH) menjadi bukti sokongan berterusan golongan tersebut terhadap UMNO.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, peranan parti itu sebagai ‘madrasah’ untuk melahirkan pelapis kepimpinan perlu dimanfaatkan sepenuhnya melalui usaha mencungkil bakat-bakat baharu dalam kalangan generasi muda.

“Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, kita dapat lihat minat orang muda untuk menyertai UMNO sangat luar biasa. Program-program yang ditawarkan termasuk oleh Pergerakan Puteri UMNO melalui Pertandingan Pidato Piala AZH ini, berjaya menarik penyertaan ramai anak muda.

“Ada peserta dalam kalangan pelajar sekolah menengah selain anak muda yang telah menamatkan pengajian. Apa yang paling penting adalah usaha mencungkil bakat kepimpinan mereka, kerana golongan ini merupakan aset negara pada masa hadapan,” katanya kepada UMNO Online.

Tambah Asyraf Wajdi, platform seperti itu amat penting bagi memastikan parti itu terus melahirkan pemimpin yang berkualiti dan berwibawa pada masa akan datang.

“Kita harus melihat UMNO sebagai sebuah madrasah yang melahirkan pelapis kepimpinan. Ini penting untuk memastikan kita dapat melahirkan pemimpin yang bukan sahaja memahami akar perjuangan, tetapi juga berkompetensi, berwibawa, bersahsiah tinggi dan berintegriti.

“Ciri-ciri ini akan menjadi daya juang penting dalam memastikan kelangsungan perjuangan agama, bangsa dan tanah air,” katanya lagi.

Untuk rekod, Pertandingan Pidato Piala AZH yang berlangsung sejak 29 April lalu hingga hari ini diadakan bersempena sambutan ulang tahun UMNO ke-80.

Pertandingan yang mempertandingkan dua kategori iaitu Muda dan Utama itu berjaya menarik lebih 100 penyertaan daripada pelbagai lapisan umur bermula daripada pelajar sekolah sehingga orang awam berusia di bawah 40 tahun.

Seramai 42 peserta menyertai kategori Muda yang terdiri daripada pelajar sekolah, manakala 62 peserta lagi melibatkan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) serta orang awam dalam kategori Utama.

Sesi saringan pertandingan telah berlangsung dengan jayanya pada Rabu lalu mempertaruhkan 104 peserta dari kategori Muda dan Utama yang telah menzahirkan pelbagai buah pemikiran untuk mengukuhkan semula parti keramat UMNO.

Semalam, berlangsung peringkat separuh akhir yang bakal mempertaruhkan 20 finalis dari kategori Muda dan Utama.

Kemuncak bagi acara Pertandingan Pidato Piala AZH berlangsung hari ini di mana seramai 10 finalis dari kategori muda dan utama bakal bertanding bagi merebut gelaran juara.

Penganjuran pertandingan bukan sahaja menjadi platform untuk mencungkil bakat baharu, malah berperanan sebagai medium untuk memperkukuhkan semangat jati diri, kepimpinan serta kecintaan terhadap perjuangan parti dalam kalangan generasi muda. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast