KUALA LUMPUR – UMNO mahu setiap penganjuran program hiburan dan festival di negara ini diteliti dengan lebih menyeluruh supaya selari dengan nilai budaya, agama dan identiti negara.
Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya mengambil serius kegusaran pelbagai pihak berhubung festival air Rain Rave yang sedang berlangsung di ibu negara ketika ini.
Menurutnya, setiap program yang dianjurkan tidak boleh mengetepikan nilai, adab, sensitiviti agama serta norma masyarakat tempatan.
“Dalam apa juga penganjuran program, prinsipnya mesti jelas. Ia tidak boleh mengetepikan nilai, adab, sensitiviti agama dan norma masyarakat tempatan.
“Kami mengambil serius pandangan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan.
”Pandangan ini wajar dihormati kerana ia mencerminkan kegusaran sebahagian besar rakyat Malaysia,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Ahmad Zahid berkata, UMNO turut meminta supaya program seumpama itu diteliti semula dari segi konsep, kandungan serta pelaksanaannya bagi memastikan ia tidak mencetuskan polemik dalam masyarakat.
Katanya, garis panduan penganjuran juga perlu diperkemas dan diperketatkan supaya setiap acara kekal selari dengan budaya serta identiti negara.
“Sebab itu, kami telah meminta supaya program seumpama ini diteliti semula dari segi konsep, kandungan dan pelaksanaannya.
“Garis panduan juga perlu diperkemas dan diperketatkan supaya setiap penganjuran selari dengan nilai budaya, agama dan identiti negara,” katanya.
Katanya lagi, UMNO tidak menolak hiburan atau usaha mempromosikan sektor pelancongan, namun setiap acara perlu mempunyai batas dan mengambil kira sensitiviti masyarakat majmuk di negara ini.
“Prinsip kita jelas, berhibur tidak salah tetapi mesti ada batas. Kemajuan boleh diteruskan, tetapi nilai tidak boleh tergugat.
“Penganjur wajar berbincang dengan pihak berkuasa agar keharmonian masyarakat terus terpelihara. Ini pendirian UMNO,” ujarnya.
Untuk makluman, Rain Rave Water Music Festival yang berlangsung di Bukit Bintang dari 30 April hingga 2 Mei dianjurkan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 dan mengetengahkan konsep festival muzik berasaskan elemen air serta visual interaktif.
Festival itu turut menampilkan persembahan muzik elektronik (EDM) dan pelbagai aktiviti hiburan yang disasarkan untuk menarik kehadiran pelancong tempatan serta antarabangsa ke ibu negara.
Bagaimanapun, penganjurannya mengundang pelbagai reaksi termasuk kritikan daripada beberapa pihak seperti UMNO dan PAS, selain kebimbangan disuarakan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI). -MalaysiaGazette
















