Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. Foto MOHD ADZLAN, 01 MEI 2026.

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan kedudukan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) UMNO-Barisan Nasional (BN) dalam Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan adalah keputusan rasmi parti yang perlu dihormati semua pihak.

Menurut Timbalan Perdana Menteri itu, sebarang pandangan berkaitan isu hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, hanya bersifat pandangan peribadi dan tidak mengubah pendirian parti.

“Pandangan itu adalah hak masing-masing, namun keputusan parti tetap jelas bahawa Adun BN kekal berada dalam Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan.

“Jadi saya fikir semua pihak termasuk pimpinan di pelbagai peringkat dan akar umbi perlu menghormati keputusan tersebut,” katanya kepada media selepas Majlis Penutup Kongres Pendidikan Bumiputera di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), lewat petang ini.

ARTIKEL BERKAITAN

https://malaysiagazette.com/2026/05/01/sayap-umno-negeri-sembilan-dakwa-mb-gagal-urus-krisis-adat/

Ahmad Zahid berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan bersama tiga sayap UMNO Negeri Sembilan iaitu Wanita UMNO, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri UMNO yang memandang serius tindakan penempatan semula semua kakitangan Balai Undang Luak Sungei Ujong serta pengosongan Kediaman Rasmi dan Balai Undang Sungei Ujong.

Menurut kenyataan itu, tindakan kerajaan negeri berkenaan didakwa tidak sensitif kerana berlaku ketika pertikaian melibatkan YTM Dato’ Klana Petra Undang Luak Sungei Ujong masih belum selesai.

Tiga sayap UMNO negeri itu turut menegaskan institusi Undang Luak bukan sekadar jawatan pentadbiran biasa, sebaliknya mempunyai kedudukan penting dalam adat, sejarah dan identiti Negeri Sembilan.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid tidak mengulas lanjut berhubung perkara itu dan menegaskan keutamaan ketika ini adalah memastikan kestabilan politik negeri terus terpelihara. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast