KUALA LUMPUR – Dua penuntut kolej di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) ditangkap berkhalwat di sebuah bilik hotel di Desaru, Johor, malam tadi.
Jurucakap Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) berkata, penuntut lelaki dan perempuan berusia 19 tahun itu sepatutnya pulang ke kampung halaman sempena cuti am.
Bagaimanapun, mereka tergamak menipu keluarga masing-masing dengan memberi alasan mahu menyertai program kolej semata-mata mahu meluangkan masa bersama-sama.
“Ketika pemeriksaan dilakukan, pada awalnya pasangan itu tidak membuka pintu sebelum seorang wanita membuka pintu dengan hanya berbaju t-shirt labuh tanpa berseluar.
“Wanita itu mendakwa rakan wanitanya berada di dalam tandas, bagaimanapun penguatkuasa menemukan seorang lelaki yang tidak berpakaian,” kata pegawai berkenaan menerusi perkongsian video di Facebook, hari ini.
Menurut beliau, hasil siasatan mendapati pasangan muda tersebut bukan suami isteri, berstatus bujang dan masih belajar di sebuah kolej di Kota Tinggi.
Katanya, ibu bapa penuntut berkenaan tampil bagi menjadi penjamin pasangan itu selepas mereka ditahan.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor kerana disyaki melakukan kesalahan khalwat. -MalaysiaGazette
















