KUALA LUMPUR – Kolej Poly-Tech MARA Sdn. Bhd. (KPTMSB) menyediakan bantuan serta memberikan sokongan sepenuhnya kepada keluarga pelajar kolej yang maut dengan 61 kesan tikaman di Ketereh, Kelantan, semalam.
KPTMSB juga meminta warga kampus dan orang ramai dimohon agar tidak menyebarkan maklumat atau spekulasi yang tidak sahih berkaitan insiden ini bagi menghormati privasi keluarga dan memastikan kelancaran siasatan.
“KPTMSB menzahirkan rasa dukacita dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga pelajar Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Kota Bharu, yang ditemui maut, pada Jumaat, 1 Mei 2026, di Ketereh, Kota Bharu.
“Semoga seluruh keluarga diberi kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, pada masa ini, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian.
Pihak KPTMSB katanya, sedang memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam proses siasatan tersebut.
Semalam, Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat mengesahkan penemuan mayat seorang penuntut kolej perempuan berusia 19 tahun di jalan berhampiran sawah di kampung itu.
Beliau berkata siasatan awal mendapati mangsa berasal dari Perak dan dipercayai dibunuh di lokasi lain sebelum mayat dibuang di kawasan tersebut.
Hasil bedah siasat mengesahkan punca kematian mangsa akibat kecederaan tikaman berganda pada bahagian dada. -MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
https://malaysiagazette.com/2026/05/02/kes-tikam-61-kali-empat-suspek-direman/
https://malaysiagazette.com/2026/05/02/kami-masih-terkejut-mohon-diberi-ruang-keluarga-nurfisya/
















