Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani bercakap kepada media pada Konvensyen 80 Tahun UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 02 MEI 2026.

KUALA LUMPUR – UMNO perlu segera menyedari kedudukan semasa parti Melayu itu yang kini hanya memiliki 26 kerusi Parlimen serta bukan lagi peneraju utama dalam kerajaan.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, perubahan landskap politik semakin kompetitif, kemunculan parti baharu serta pengundi lebih kritikal memberi cabaran besar kepada UMNO.

“Kejatuhan parti tidak hanya berpunca daripada faktor luaran, tetapi juga konflik dalaman yang berpanjangan, isu integriti serta kegagalan menyesuaikan diri dengan perubahan pemikiran masyarakat moden.

“Pengundi hari ini lebih menilai isu kos sara hidup, peluang pekerjaan dan kemampuan memiliki rumah, selain tidak lagi terikat kepada kesetiaan mana-mana parti,” katanya berucap pada Sambutan Ulang Tahun UMNO ke-80 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani bercakap kepada media pada Konvensyen 80 Tahun UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 02 MEI 2026.

Johari juga mengingatkan nostalgia kejayaan lampau tidak lagi relevan sebagai sandaran politik, sebaliknya UMNO perlu membina semula keyakinan rakyat melalui prestasi dan kesatuan dalaman.

Dalam pada itu, beliau menyeru seluruh ahli parti agar memperkukuh perpaduan, membuka ruang kepada golongan muda serta menyusun semula kekuatan organisasi sebagai satu pasukan yang mantap.

“Kalau kita bersatu dan susun strategi dengan betul, tidak mustahil UMNO mampu kembali menjadi kekuatan utama dalam politik negara,” ujarnya.

Menurut Johari, UMNO sebelum ini melalui tiga fasa utama sejak penubuhannya pada 1946, bermula dengan perjuangan kemerdekaan, diikuti era kegemilangan selama lebih enam dekad, sebelum memasuki fasa perkongsian kuasa dalam kerajaan selepas kehilangan dominasi politik.

“Dalam kegemilangan UMNO ini juga. Kita menang, tetapi kita sudah tidak menang lagi dua pertiga, kita menang. Kita pernah memerintah kerajaan waktu majoriti mudah ini selama lebih kurang 10 tahun, dua kali pilihan raya.

“Dua kali pilihan raya, dua kali kita duduk dalam kerajaan, dua kali kita berkongsi kuasa. Tetapi berkongsi kuasa ini, dalam kedudukan kita hanyalah menolong orang untuk dapatkan kuasa, maka kita pun tumpang dapatlah kuasa,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast