KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan akan memanggil Datuk Seri Rafizi Ramli untuk hadir ke Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya, pada jam 10 pagi, Isnin ini.
Menurut Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mohd Hafaz Nazar, Ahli Parlimen Pandan itu dipanggil untuk membantu siasatan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan pelaburan bernilai RM1.1 bilion di antara Kementerian Ekonomi dan syarikat ARM Limited UK dalam satu perjanjian kerjasama strategik industri semi konduktor.
“Sehingga kini, sebanyak 22 keterangan telah diambil termasuklah dalam kalangan Menteri dan juga pegawai kanan beberapa agensi kerajaan sejak siasatan dimulakan pada 13 Februari 2025.
“Minggu lalu kita telah merakam keterangan daripada James Chai selama tiga hari berturut-turut bermula Selasa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambah Mohd Hafaz, kes melibatkan Rafizi disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Semalam, Rafizi memaklumkan telah menerima notis daripada SPRM yang meminta beliau hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM Putrajaya Isnin ini.
Katanya, beliau bersama peguamnya telah bersedia untuk dirakam keterangan dan membantu siasatan SPRM.
Menurut Ahli Parlimen Pandan itu, kes berkenaan akan menjadi perbicaraan yang panjang dan menarik kerana ramai pimpinan besar negara akan dipanggil menjadi saksi termasuk Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan menteri-menteri. -MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
















