KUALA LUMPUR – Golongan wanita muda dalam kategori M-40 yang berdepan tekanan kos sara hidup dan tanggungjawab berganda perlu diberi perhatian serius.
Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi berkata, golongan tersebut perlu mendapat sokongan ekosistem yang dibina secara menyeluruh dan bukan sekadar bantuan sementara.
Menurut beliau, cabaran UMNO ketika ini bukan lagi soal memilih antara golongan lama atau muda, sebaliknya merapatkan jurang antara kedua-duanya demi memastikan parti kekal relevan dengan realiti semasa rakyat.
Katanya, wanita muda M40 sering dilihat sebagai kelompok yang stabil dan mampu berdikari, namun hakikatnya mereka sedang bergelut secara senyap untuk menyeimbangkan tuntutan kerjaya, keluarga dan tekanan ekonomi yang semakin meningkat.
“Mereka ibarat pohon yang teguh berdiri di tengah kota, kelihatan tenang di luar, namun akarnya sedang berjuang mencengkam tanah yang semakin keras akibat kemarau tuntutan hidup,” katanya sempena ulangtahun ke-80 UMNO ke-80 di Pusat Dagngan Dunia (WTC di sini, hari ini.
Beliau menegaskan, sudah tiba masanya kerajaan beralih daripada pendekatan reaktif kepada langkah lebih proaktif dengan membangunkan ekosistem yang benar-benar menyokong perkembangan wanita muda tanpa batasan.
Sehubungan itu, beberapa cadangan dasar dikemukakan termasuk memperluas akses peluang menjana pendapatan bagi memastikan manfaat ekonomi lebih inklusif dan menyeluruh.
Selain itu, beliau turut mencadangkan agar kemudahan penjagaan anak diperkasa dengan menyediakan nurseri yang berkualiti, selamat dan berpatutan serta mudah diakses khususnya di tempat kerja.
Pada masa sama, beliau mencadangkan peningkatan pelepasan cukai bagi setiap anak daripada RM2,000 kepada RM3,000 sebagai langkah meringankan beban kewangan keluarga.
Nurul Amal turut menggesa agar Program BUDI MADANI diperluaskan kepada pemilik kenderaan diesel persendirian yang turut terkesan dengan perubahan dasar semasa.
Beliau berkata, langkah-langkah tersebut penting bagi memastikan wanita muda tidak terus terhimpit antara tuntutan kerjaya dan tanggungjawab keluarga.
“Sempena ulang tahun ke-80 UMNO, kita bukan sekadar meraikan sejarah, tetapi perlu tampil dengan penyelesaian konkrit terhadap isu yang dekat di hati rakyat yang kini berdepan tekanan hidup,” katanya. – MalaysiaGazette
















