Tun Faisal Ismail Aziz.

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menegaskan, parti atau pihak lain tidak harus dipersalahkan jika mereka tidak yakin dengan gagasan ‘Rumah Bangsa’ dan ‘Kolaborasi Agung’ yang diilhamkan UMNO.

Ketua Penerangannya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, mereka tidak mahu terpedaya lagi dengan janji-janji palsu dan slogan lama yang diberi naratif baharu.

“Bungkusannya mungkin cantik tetapi isinya masih sama, mungkin juga sudah basi,” ujar beliau dalam kenyataan menerusi laman Facebook hari ini.

Tun Faisal mengulas kenyataan bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin bahawa beliau sedih Rumah Bangsa kurang sambutan.

Menurut Tun Faisal, perkara itu bukan sesuatu yang mengejutkan kerana mendakwa ramai tidak percaya dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan pemimpin parti yang didakwa berulang kali menipu dan mengkhianati pengundi khususnya Barisan Nasional (BN) dan Melayu-Islam.

“Mungkin pengundi UMNO dan BN pernah tersilap sekali tetapi mereka sudah lebih bijak dan berhati-hati untuk tidak lagi tersilap buat kali kedua, apatah kali ketiga.

“Luka lama belum sembuh, Zahid dan pemimpin UMNO sudah mahu menjual formula baharu.

“Parti dan pengundi Melayu-Islam melihat ‘UMNO Go Solo’, ‘Rumah Bangsa’ dan ‘Kolaborasi Agung’ dilaungkan bukan kerana prinsip perjuangan yang benar-benar diimani oleh Zahid dan UMNO, tetapi hanya sebagai muslihat politik demi survival mereka,” ujarnya.

Beliau turut mempersoal mengapa `Kluster Munafik’ dalam UMNO sanggup mengenepikan agenda Islam dan Ummah, mengenepikan parti-parti Melayu-Islam yang lain selepas kalah teruk dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Jelas beliau, ini kerana UMNO mahu bertanding lebih banyak kerusi dalam PRU-16.  Jika mereka memilih Perikatan Nasional (PN), mereka tidak boleh bertanding di 74 kerusi Bersatu dan Pas iaitu kerusi majoriti Melayu-Islam.

Tun Faisal selanjutnya berkata, pemimpin UMNO pernah menolak Agenda Penyatuan Ummah dengan parti-parti Melayu-Islam yang lain sebelum PRU15 dan selepas kalah teruk.

Namun beliau mempersoal mengapa Ahmad Zahid dan pemimpin UMNO secara tiba-tiba kembali melaungkan slogan UMNO Go Solo, Rumah Bangsa dan Kolaborasi Agung sekarang.

“Ini kerana pemimpin-pemimpin UMNO sedar mereka sudah kehilangan undi pengundi Melayu disebabkan mereka bersama DAP,” ujarnya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Saya sedih Rumah Bangsa kurang sambutan dari parti-parti lain – KJ

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast