Pengerusi MARA, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – UMNO mengesahkan mesyuarat Biro Politik antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) akan turut membincangkan isu berkaitan kedudukan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, isu tersebut merupakan antara beberapa perkara penting yang akan dibawa ke meja rundingan dalam mesyuarat yang dijadualkan berlangsung minggu depan.

“Banyak aspek yang kita harus lihat, itu mungkin salah satu daripada perkara itu (status Menteri Besar),” katanya kepada media selepas menghadiri Sambutan 60 Tahun MARA di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia hari ini.

Beliau menegaskan, perbincangan berhubung Negeri Sembilan tidak wajar dilihat dari sudut individu semata-mata sebaliknya perlu mengambil kira kepentingan institusi secara menyeluruh.

“Saya boleh katakan isu di Negeri Sembilan ini bukan hanya soal mana-mana individu. Ini soal institusi, kedaulatan institusi raja dan juga adat yang perlu kita fahami secara tuntas,” katanya.

Khamis lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan mencadangkan supaya isu berkaitan status Aminuddin sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan dibawa ke meja perundingan antara BN dan PH.

Menurut Ahmad Zahid, sebarang permasalahan perlu diselesaikan secara bersama melalui rundingan rasmi berpandukan Perjanjian 18 Perkara yang menjadi asas kerjasama antara kedua-dua gabungan itu.

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi turut ditanya mengenai kenyataan Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias yang menyatakan kesediaan parti itu untuk menjadi pembangkang sekiranya perlu.

Mengulas perkara itu, beliau berkata, pihaknya masih belum menerima penjelasan lanjut daripada UMNO Negeri Sembilan berhubung kenyataan berkenaan.

“Saya belum dapat penjelasan lagi daripada pihak (UMNO Negeri Sembilan),” katanya.

Beliau bagaimanapun menegaskan, ketetapan peringkat Biro Politik UMNO adalah jelas untuk meneruskan rundingan bersama PH dalam masa terdekat bagi membincangkan beberapa perkara dasar.

“Ini kerana kita di peringkat Biro Politik UMNO sudah membuat ketetapan yang paling penting sekali sepertimana dalam ketetapan Biro Politik yang dikeluarkan daripada Pejabat Setiausaha Agung.

“Antara resolusinya adalah untuk kita duduk dengan Biro Politik Pakatan Harapan dalam masa terdekat ini untuk kita melihat beberapa perkara-perkara yang melibatkan soal dasar kedua-dua parti,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast