JOHOR BAHRU – Kerajaan Johor yang dijangka membentangkan rang undang-undang pindaan Perlembagaan Khamis ini berkenaan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan merupakan satu cabaran terhadap legitimasi demokrasi.
Naib Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Jimmy Puah Wee Tse berkata, tujuannya bagi memperluaskan komposisi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 56 ADUN yang dipilih ditambah dengan lima ADUN baharu yang dilantik.
Ahli Parlimen Tebrau itu menegaskan, langkah tersebut bukan sekadar pelarasan pentadbiran biasa tetapi satu cabaran langsung terhadap prinsip demokrasi.
“Lima ADUN lantikan ini tidak mempunyai kawasan, tidak mempunyai pengundi dan tidak melalui proses pilihan raya, namun diberi hak yang sama seperti ADUN yang dipilih termasuk hak untuk mengambil bahagian, bersuara dan mengundi.
“Ini bukan lagi isu kawasan kelabu (kawasan atau kerusi pilihan raya yang tidak jelas sokongannya terhadap parti politik) tetapi satu cabaran terbuka terhadap legitimasi demokrasi.
“Apa yang lebih membimbangkan, mekanisme ini berpotensi menjadi satu bentuk ‘ADUN pintu belakang’,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Dalam sidang DUN hari ini, Pengarah Strategik DAP, Liew Chin Tong membangkitkan isu tersebut yang didakwa akan dilaksanakan kerajaan negeri.
Beliau dilaporkan berkata, daripada mewujudkan ADUN lantikan, lebih baik melaksanakan persempadanan semula untuk menambah bilangan kerusi DUN.
Menurutnya, persempadanan semula adalah pendekatan lebih sesuai dan tepat memandangkan terdapat tujuh kerusi yang mempunyai pengundi hampir atau melebihi 100,000 orang.
Mengulas lanjut, Jimmy Puah berkata, individu yang telah ditolak oleh rakyat dalam pilihan raya sebelum ini tidak lagi perlu kembali berdepan pengundi, sebaliknya boleh masuk semula ke DUN melalui pelantikan politik seperti itu.
“Rakyat menolak melalui undi, tetapi sistem membenarkan mereka kembali melalui pintu belakang. Apakah makna pilihan raya jika ini berlaku,” soalnya.
Cadangan itu juga katanya, menjejaskan prinsip asas satu orang, satu undi dan pelantikan tersebut jelas tidak adil.
“Seorang ADUN yang mendapat puluhan ribu undi diberi kuasa yang sama dengan seorang ADUN lantikan yang tidak mendapat satu undi pun. Maka, apakah nilai sebenar undi rakyat? Isu akauntabiliti juga tidak boleh dipandang ringan.
“ADUN yang dipilih bertanggungjawab kepada pengundi dan boleh digantikan melalui pilihan raya. Namun, ADUN lantikan tidak perlu menjawab kepada rakyat, sebaliknya hanya kepada pihak yang melantik mereka,” katanya.
Beliau seterusnya mempersoalkan sama ada ADUN lantikan tersebut mewakili rakyat atau mewakili kuasa pihak tertentu.
“Jawapannya jelas. Kita juga tidak boleh terlalu naif. Lima jawatan ini berpotensi menjadi alat patronaj politik untuk melantik sekutu, menenangkan pihak tertentu atau memberi ganjaran kepada penyokong,” ujarnya.
Jelas beliau, langkah berkenaan bukan reformasi sebaliknya adalah pembahagian kepentingan politik.
“Lebih serius lagi, mekanisme ini membuka satu preseden berbahaya walaupun telah ditolak oleh rakyat, seseorang masih boleh memegang kuasa,” tegasnya.
Pelantikan ADUN berkenaan katanya, bukan sahaja melemahkan makna pilihan raya malah menghakis kepercayaan rakyat terhadap sistem demokrasi.
“Akhir sekali, saya ingin mengemukakan satu persoalan yang sangat realistik. Dalam keadaan kos sara hidup meningkat dan rakyat sedang bergelut dengan tekanan ekonomi, mengapa perlu menggunakan wang pembayar cukai untuk menampung lima ADUN yang tidak mempunyai mandat rakyat,” soalnya.
Lebih ironis kata beliau, negeri-negeri yang diterajui oleh Pakatan Harapan (PH) sebelum ini tidak pernah melaksanakan mekanisme seperti itu.
Namun kini, ujarnya, kerajaan Johor memilih pendekatan tersebut yang pastinya menimbulkan persoalan sama ada benar-benar demi rakyat atau demi kepentingan kuasa.
Tambahnya, demokrasi bukan alat untuk ‘mereka bentuk keputusan’ tetapi tentang memberi kuasa kepada rakyat untuk menentukan siapa yang memerintah, bukan memberi ruang kepada kuasa untuk memintas kehendak rakyat.
“Saya menyeru Kerajaan Negeri Johor supaya menilai semula cadangan ini. Jangan membawa Johor ke arah satu sistem di mana tanpa undi pun, seseorang masih boleh mendakwa mewakili suara rakyat,” tambahnya. – MalaysiaGazette
















