Keadaan sebuah rumah yang rosak dipukul ribut dalam kejadian di di Kampung Melayu Raya Rizab 1, Pekan Nanas, Pontian, semalam

PONTIAN – Sebanyak 77 penduduk daripada 23 keluarga yang terjejas akibat ribut di Kampung Melayu Raya Rizab 1, Pekan Nanas di sini semalam dipindahkan ke pusat permindahan sementara (PPS).

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Johor, Datuk Mohammed Ridha Abd Kadi berkata, mereka ditempatkan di PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Melayu Raya yang dibuka sejak pukul 6 petang semalam.

“Ribut berkenaan melibatkan 23 rumah sewa, lima rumah persendirian dan satu kuaters madrasah yang mengalami kerosakkan bumbung rumah iaitu atap tercabut dan siling rumah rosak,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pukul 4 petang.

Katanya, seramai sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pekan Nenas dan diketuai Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan Satu, Md Bakhtiar Chik dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi, pasukan mendapati kejadian ribut itu telah menyebabkan kemusnahan melibatkan puluhan kediaman penduduk.

“Bagaimanapun, semua penghuni rumah dilaporkan selamat dan tiada mangsa mengalami sebarang kecederaan,” menurut kenyataan tersebut.

Terdahulu, video kejadian ribut berdurasi 55 saat itu yang berlaku ketika hujan lebat tular dalam media sosial.

Video itu memaparkan pusaran angin hingga menyebabkan objek dipercayai kepingan zink rumah berterbangan di udara.

Beberapa video berasingan turut memaparkan keadaan rumah mangsa terutama bumbung yang rosak dan runtuh akibat bencana alam itu.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast