Foto BBC.

ROME – Inter Milan menjulang gelaran Serie A buat kali ketiga dalam tempoh enam musim selepas menewaskan Parma 2-0  awal pagi tadi.

Jaringan Marcus Thuram sebelum rehat membuka laluan kemenangan Inter sebelum Henrikh Mkhitaryan mengesahkan kejuaraan menerusi gol kedua pada babak kedua.

Walaupun masih berbaki tiga perlawanan, Inter kini mendahului juara bertahan Napoli dengan kelebihan 12 mata dan 15 mata di depan musuh tetangga AC Milan di tangga ketiga.

Kejayaan itu mencetuskan suasana meriah di San Siro yang dibanjiri lautan biru hitam, manakala ribuan penyokong turut berhimpun di hadapan katedral Duomo di Milan bagi meraikan gelaran liga ke-21 kelab itu.

Inter berjaya bangkit daripada kekecewaan musim lalu di bawah kendalian Cristian Chivu iaitu bekas pemain kelab yang dilantik secara mengejut pada Jun lalu bagi menggantikan Simone Inzaghi.

Inzaghi sebelum itu menghadiahkan enam trofi dan membawa Inter ke dua final Liga Juara-Juara dalam tempoh empat musim sebelum memilih tawaran lumayan di Arab Saudi.

Namun tidak sampai setahun selepas tewas tipis dalam perebutan gelaran Serie A 2025 dan dibelasah Paris Saint-Germain 0-5 pada final Liga Juara-Juara, Inter kini kembali berada di puncak bola sepak Itali.

Inter kini berpeluang melengkapkan gelaran berganda liga dan piala buat kali ketiga dalam sejarah sekiranya menewaskan Lazio pada final Piala Itali di Stadio Olimpico, Rome pada 13 Mei ini. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast