KUALA LUMPUR – Ahli UMNO diingatkan supaya berhenti bernostalgia dengan kegemilangan masa lalu dan perlu berpijak di bumi nyata dalam mendepani landskap politik semasa yang sudah berubah sepenuhnya, demikian menurut tokoh veteran, Tan Sri Syed Hamid Albar.
Beliau berkata, mentaliti parti dominan dengan penguasaan dua pertiga majoriti dalam Parlimen tidak lagi relevan untuk dijadikan ukuran kekuasaan pada waktu ini.
“UMNO kini perlu menerima hakikat sebagai sebuah parti yang lebih kecil dalam blok pemerintahan dan harus bijak menyesuaikan diri melalui formula kerjasama politik yang baharu.
“Jangan kita bernostalgia kepada apa yang dah berlalu. Dulu kita parti besar, kita yang menentukan hala tuju negara dan siapa yang kita hendak bekerjasama. Tapi kini, kita jadi parti yang kecil.
“Sebab itu kita kena gunakan formula lain, walaupun mungkin ada yang tidak suka bekerjasama dengan DAP, Amanah atau PKR, namun tanpa langkah itu, adakah UMNO akan kekal dalam arus perdana pemerintahan?” katanya menerusi program Skop MG.

Beliau berkata, kegagalan untuk berubah dan terus hidup dalam bayang-bayang sejarah hanya akan menyebabkan UMNO dilihat sebagai sebuah organisasi yang lapuk dan tidak lagi bermaya.
“Sesebuah parti politik itu umpama manusia yang melalui proses kematangan, jika ia gagal dikemas kini mengikut hambatan cabaran hari ini, ia akan ditinggalkan oleh zaman.
“Kalau UMNO terus macam dulu, kita tidak akan jadi `terkemaskini’. Kita kena reka dan cipta sesuatu yang baharu serta segar untuk mencapai kedudukan kita semula.
“Pengaruh kita sekarang tidak semestinya orang nampak secara fizikal, tetapi dalam sistem koalisi atau pemerintahan bersama, kita mesti ada cara untuk mempengaruhi dasar dan hala tuju negara,” jelasnya.
Beliau yang juga bekas Menteri Luar berkata, UMNO bukan parti ideologi sebaliknya berlandaskan agama, bangsa dan tanah air.
“Kekuatan UMNO pada usia 80 tahun ini sepatutnya terletak pada kematangan bertindak, bukannya sekadar laungan slogan yang bersifat emosional.
“Saya harap perjuangan yang berasaskan emosi itu kita letakkan ke tepi.
“Kita nak perjuangan berasaskan logik dan rasionaliti supaya dapat mencapai matlamat menentukan kekuatan politik orang Melayu dalam konteks geopolitik dan geoekonomi semasa,” tambahnya. – MalaysiaGazette
















