MAKKAH – Seramai empat jemaah haji masing-masing dua di Makkah dan Madinah sedang dirawat di hospital, termasuk seorang ditidurkan kerana mengalami komplikasi jantung.
Ketua Rombongan Haji, Mohd Hisham Harun berkata, mereka merupakan 16 jemaah haji yang menerima rawatan di hospital setakat ini.
Selain kes kardiovaskular, terdapat pesakit-pesakit turut mengalami masalah pernafasan serta, saraf dan otot.
Menurut beliau, petugas-petugas Lembaga Tabung Haji (TH) sentiasa memantau perkembangan mereka di hospital dan dalam keadaan stabil.
“Namun, secara keseluruhannya, jemaah haji Malaysia berada dalam keadaan kesihatan yang baik dan telah mula menyesuaikan diri,” katanya dalam talimat hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Hisham berkata, pesakit yang mendapat visa haji, rawatan mereka ini ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Arab Saudi.
Tetapi pesakit yang dirawat di hospital selepas musim haji, had maksimum yang ditanggung sehingga 200,000 riyal.
Ditanya sama ada pesakit ini berpeluang dibawa semasa masyair nanti, beliau berkata: “Insya-Allah, kecuali mereka yang tidak boleh keluar dari hospital disebabkan bantuan pernafasan atau ditidurkan. Tetapi kita akan bawa mereka dengan ambulans ke Arafah seketika untuk mereka berwukuf. Kerjasama ini sedang diusahakan oleh perubatan Tabung Haji dengan Saudi-German Hospital”.
Dalam taklimat hari ini, beliau sekali lagi menasihatkan jemaah haji supaya menjaga kesihatan sebaik-baiknya dan mendapat rehat secukupnya terutama menjelang hari wukuf supaya jemaah dalam keadaan bertenaga dan kesihatan yang baik.
“Kami faham jemaah teruja berada di Kota Makkah dan berhasrat beribadah di Masjidil Haram sekerap mungkin namun ibadah haji menuntut jemaah berwukuf di Arafah, melibatkan pergerakan yang banyak dan memerlukan jemaah berjalan jauh untuk bermabit dan melontar di jamrah.
“Justeru kami menasihatkan jemaah simpan sedikit tenaga, dapatkan rehat dan tidur yang cukup serta jaga pemakanan dan elak berada di luar ketika cuaca semakin panas sehingga mencecah lebih 40 darjah Celcius,” tambahnya.
Lagipun, menurut beliau, TH telah menyediakan surau di setiap bangunan penginapan jemaah haji Malaysia dan surau ini dibuka 24 jam dan jemaah dianjurkan solat berjemaah pada setiap waktu.
Pelbagai program pengisian kerohanian yang padat juga telah disusun bagi mengisi masa jemaah sepanjang berada di sini.
“Jadi, kami sediakan alternatif kepada para jemaah terutamanya bagi yang kurang berkemampuan dari sudut fizikal untuk berulang-alik ke Masjidil Haram, boleh juga memanfaatkan masa dengan beribadah di surau yang disediakan, memandangkan semua premis penginapan jemaah Malaysia masih berada dalam radius Tanah Haram.
“Insya Allah mudah-mudahan Allah memberi ganjaran atas usaha para jemaah dengan pahala dan fadilat berada dalam kawasan Tanah Haram,” tambahnya.
Dalam pada itu, beliau menambah, Malaysia merupakan negara pertama yang telah menerima permit rasmi (tasreh) daripada pihak berkuasa Arab Saudi bagi pengoperasian klinik TH di Madinah yang terletak di Hotel Zaha Al Taiba.
Katanya, pihak TH sedang giat berhubung dengan pihak berkuasa Arab Saudi bagi mendapatkan permit operasi bagi klinik TH yang lain di sektor Makkah yang dijangka diterima tidak lama lagi. – MalaysiaGazette
















