Hannah Yeoh

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan terus mempergiat langkah penjimatan kos melalui pendekatan perkongsian sumber dan kerjasama strategik antara agensi serta sektor swasta.

Menteri Wilayah Persekutuan, Hannah Yeoh berkata, antara langkah yang dilaksanakan termasuk amalan bekerja dari rumah, penyeragaman suhu pendingin hawa di pejabat kerajaan serta galakan kepada menteri untuk mengurangkan perjalanan ke luar negara bagi tujuan rasmi.

“Bagi kami di Kuala Lumpur, lebih kepada program. Kalau apa-apa program yang kita boleh bekerjasama dengan kementerian lain, kita boleh menggabungkan semua orang dalam satu program. Itu satu kaedah untuk menjimatkan wang,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Menurutnya, pendekatan penjimatan juga melibatkan kerjasama dengan pihak swasta seperti pusat beli-belah yang mempunyai kemudahan sedia ada bagi penganjuran program kerajaan tanpa perlu menyewa ruang tambahan.

“Contohnya, mereka sudah mempunyai pentas dan kemudahan. Jadi kalau kita mahu buat program, kita tidak perlu sewa khemah khas. Kita boleh berkongsi dengan pusat beli-belah,” jelasnya.

Hannah berkata, kerajaan kini mencari lebih banyak perkongsian strategik yang memberi manfaat bersama agar perbelanjaan dapat dioptimumkan tanpa menjejaskan pelaksanaan program untuk rakyat.

“Kita cari banyak persatuan strategik untuk keuntungan satu sama lain supaya kita tidak menghabiskan wang secara tidak perlu,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast