Gambar hiasan

ALOR SETAR – Kerajaan Negeri Kedah menafikan dakwaan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok bahawa Langkawi mengalami kemerosotan atau ‘lesu’ dalam sektor pelancongan akibat kegagalan tadbir urus kerajaan negeri.

Sebaliknya, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Kedah, Datuk Mohd Salleh Saidin menegaskan, pulau peranginan itu terus mencatat peningkatan ketibaan pelancong setiap tahun sejak 2022.

Jelas beliau, berdasarkan statistik rasmi Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), tiada penurunan direkodkan dan jumlah pelancong meningkat secara konsisten.

“Pada 2021 Langkawi merekodkan 1,093,937 pelancong ketika negara masih dalam fasa pemulihan pandemik,” katanya dalam kenyataan.

Mohd Salleh.

Selepas itu, jumlah pelancong meningkat kepada 2,581,605 orang pada 2022, 2,810,322 (2023), 2,904,629 (2024) dan 3,215,730 pada 2025.

“Data tersebut jelas menunjukkan bahawa dakwaan Langkawi lesu adalah tidak berasaskan fakta,” katanya.

Beliau turut menasihatkan Teresa supaya menyemak fakta terlebih dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan kerana data lengkap dengan graf kemasukan bulanan tersedia dan boleh diakses di laman web LADA.

“LADA ialah agensi Kerajaan Persekutuan yang dipertanggungjawabkan terhadap pembangunan dan pelancongan Langkawi. Maka angka ini bukan dikeluarkan oleh agensi Kerajaan Negeri Kedah sebaliknya oleh agensi rasmi Persekutuan yang berautoriti.

“Dengan peningkatan yang konsisten ini, tidak timbul soal Langkawi lesu. Dakwaan sedemikian hanya membentuk persepsi negatif yang tidak berpijak kepada fakta,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Mohd Salleh turut memaklumkan Kedah berada di tangga kelima tertinggi di Malaysia sebagai negeri tumpuan pelancong domestik dan antarabangsa bagi tahun 2024, dengan jumlah kehadiran 6.9 juta pelancong berdasarkan angka rasmi Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

“Bagi tahun 2025, kita masih menunggu angka rasmi DOSM. Namun secara tidak rasmi, kita menjangkakan jumlah pelancong ke Kedah terus meningkat melebihi tujuh juta orang.

“Malah, untuk makluman Teresa angka ini dikeluarkan oleh DOSM bukan jabatan atau agensi negeri.

“Justeru, saya menyeru Teresa agar menyemak fakta sebelum berkata-kata dan berhati-hati sebelum berkongsi kenyataan kerana fakta terbukti Kedah terus menerima kehadiran pelancong yang meningkat dari tahun ke tahun,” katanya.

Media semalam melaporkan Ahli Parlimen Seputeh itu menggesa Pas dan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Saleh supaya berhenti menjadi ‘tukang bantah’ sebaliknya mengemukakan pelan alternatif yang konstruktif untuk menjayakan Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).

Teresa berkata, tindakan kedua-dua pihak yang berterusan menyerang penganjuran Rain Rave Water Music Festival 2026 sebagai satu langkah ke belakang yang hanya akan membunuh industri pelancongan negara.

Beliau turut mengingatkan agar Kuala Lumpur dan Malaysia tidak menerima nasib yang sama seperti Pulau Langkawi yang didakwanya kini semakin ‘lesu’ dan merosot akibat dasar sempit kerajaan pemimpin negeri itu.

“Rekod prestasi Pas dalam sektor pelancongan amat membimbangkan. Lihat sahaja situasi di Pulau Langkawi, kegagalan tadbir urus kerajaan negeri telah menyebabkan kemerosotan mendadak jumlah pelancong asing dan domestik.

“Kita tidak boleh membiarkan imej Kuala Lumpur dan seluruh Malaysia terjejas akibat dasar sempit yang akhirnya merosakkan ekonomi rakyat,” katanya di laman Facebook. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast