Syafiq Aziz

JOHOR BAHRU – Cadangan pengurangan RM3.06 bilion bajet Kementerian Kesihatan (KKM) adalah bertentangan dengan keperluan mendesak sistem kesihatan awam.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor, Syafiq Aziz berkata, ia kerana hospital kerajaan ketika ini berdepan kesesakan, peningkatan jumlah pesakit dan kekurangan fasiliti.

“Realitinya petugas kesihatan di Malaysia kini berada dalam tekanan yang berpanjangan. Beban kerja yang tinggi, ganjaran yang tidak setimpal dan ketidaktentuan masa depan kerjaya.

“Jika isu-isu ini tidak ditangani dengan tuntas, ia bukan sahaja memberi kesan kepada kebajikan pekerja malah turut menjejaskan kualiti perkhidmatan kesihatan kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, dalam konteks Malaysia hari ini, tuntutan oleh Hartal Doktor Kontrak (HDK) menjadi cerminan jelas bahawa masih banyak ruang penambahbaikan yang perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan.

Katanya, isu pertama yang dibangkitkan adalah berkaitan elaun on-call (ETAP).

Menurutnya, walaupun terdapat peningkatan sekitar 40 peratus yang di bentangkan dalam belanjawan negara bagi tahun ini, realitinya kenaikan tersebut jauh daripada tuntutan asal.

“Tuntutan HDK ialah daripada RM9.16 kepada RM25 perjam. Apa yang diluluskan hanyalah sekitar RM12.83 secara purata. Ini menimbulkan persoalan, adakah kenaikan ini benar-benar mencerminkan beban kerja dan pengorbanan petugas kesihatan yang semakin meningkat,” katanya.

Selain itu, katanya, isu melibatkan pegawai farmasi kontrak apabila KKM membuat kenyataan pada April lalu bahawa tiada penyambungan kontrak bagi mereka yang telah ditamatkan perkhidmatan telah menimbulkan kegusaran.

Lebih membimbangkan katanya, apabila mereka hanya diminta memohon semula jawatan pada penghujung 2027 tanpa sebarang jaminan.

Dalam keadaan sistem kesihatan yang semakin tertekan katanya, tindakan tersebut seolah-olah tidak selari dengan keperluan semasa.

“Di manakah pembelaan terhadap tenaga kerja terlatih yang telah lama berkhidmat? Maka timbul persoalan yang wajar difikirkan. Adakah sambutan Hari Pekerja tahun ini sekadar simbolik, penuh dengan janji tetapi kosong dari segi pelaksanaan?

“Atau adakah ia akan menjadi titik perubahan sebenar dalam memastikan pekerja, khususnya petugas kesihatan, diberikan layanan yang adil dan sewajarnya,” ujarnya.

Penghargaan kepada pekerja, ujarnya, tidak seharusnya terhenti pada kata retorik.

Jelasnya, penghargaan perlu diterjemahkan melalui dasar yang adil, peruntukan mencukupi dan komitmen yang jelas.

Ujarnya, tanpa penghargaan itu, Hari Pekerja hanya akan kekal sebagai acara sambutan simbolik tahunan, sedangkan mereka yang berada di barisan hadapan terus dihimpit dengan isu kebajikan yang tiada pembelaan.

Syafiq turut mempersoalkan bagaimana nasib pekerja khususnya petugas kesihatan yang ikhlas bekerja demi rakyat dan negara.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast