KUALA LUMPUR – Pesta Rain Rave di Bukit Bintang bukti negara ini sedang hilang kawalan di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua Wiranita Parti Putra Malaysia, Laila Norinda Maon berkata, dalam negara yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan, apa yang berlaku adalah penghinaan terbuka.
“Maksiat diberi kuasa, agama dipaksa berundur. Apabila institusi agama hanya mampu membaca Yasin dan solat hajat, itu bukan tanda kekuatan. Itu tanda kuasa agama telah dipijak serendahnya daripada sistem negara,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Laila Norinda, ia bukan perbezaan pandangan, ia adalah keadaan di mana agama tidak lagi memimpin tetapi dipaksa tunduk kepada arus hiburan tanpa batas.
“Islam dalam negara ini berada di bawah naungan Majlis Raja-Raja. Apabila perkara seperti ini berlaku tanpa tindakan, ia memberi mesej bahawa kedudukan itu tidak lagi dipertahankan dengan serius.
“Dalam mana-mana kerajaan, tanggungjawab tertinggi berada di tangan Perdana Menteri. Maka dalam isu ini, kegagalan ini tidak boleh dialihkan, ia berhenti pada Anwar Ibrahim,” katanya lagi.
Menurutnya, apa yang berlaku di Bukit Bintang bukan sekadar acara, ia adalah menormalisasikan maksiat secara terbuka.
“Lebih membimbangkan, ia berlaku dgn sikap sombong dan angkuh seorang menteri, bersifat ego, tanpa rasa takut dan bersalah. Ini menunjukkan sempadan halal dan haram semakin hilang dalam ruang awam dan pentadbiran kerajaan,” ujarnya.
Negara ini tidak boleh berlindung di sebalik alasan pelancongan. Bila batas dilanggar atas nama ekonomi, itu bukan kemajuan, itu kegagalan menjaga maruah nilai asas negara, katanya. – MalaysiaGazette
















