Onn Hafiz ketika berucap dalam sidang DUN di Bangunan Sultan Ismail, Iskandar Puteri.

ISKANDAR PUTERI – Kerajaan Johor memperuntukkan RM138 juta untuk Bantuan Kasih Johor (BKJ) Fasa 4, ujar Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hasil Bumi, Pentadbiran, Kewangan, Perancangan, Pembangunan Ekonomi dan Pelancongan Johor berkata, BKJ tersebut dijangka memberi manfaat kepada lebih 600,000 Bangsa Johor di seluruh negeri.

“Pelaksanaan BKJ Fasa 4 ini dirangka berdasarkan maklum balas menyeluruh yang diterima daripada rakyat sepanjang pelaksanaan fasa terdahulu.

“Kerajaan negeri telah mendapat banyak maklum balas daripada pelaksanaan BKJ Fasa 1, 2 dan 3,” katanya berucap dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di sini hari ini.

Katanya, setiap kali turun padang dan menyantuni rakyat, pihaknya menerima pelbagai cadangan supaya lebih ramai Bangsa Johor dapat menikmati bantuan itu.

“Sebab itu, BKJ Fasa 4 ini kita tambah baik supaya lebih ramai Bangsa Johor dapat merasai manfaat secara langsung,” katanya.

Ujarnya, sebanyak 22 inisiatif diperkenalkan di bawah BKJ Fasa 4, merangkumi pelbagai lapisan masyarakat termasuk warga emas, suri rumah, pasangan muda, peniaga kecil, golongan orang kurang Upaya (OKU), anak yatim serta penggerak komuniti dan sukarelawan.

Antara inisiatif utama termasuk bantuan tunai RM200 kepada lebih 307,000 warga emas, RM200 kepada 136,000 suri rumah tidak bekerja serta RM400 kepada 45,000 pasangan yang baharu berkahwin, katanya.

Selain itu menurut Onn Hafiz, bantuan RM300 turut disalurkan kepada hampir 30,000 penjaja dan peniaga kecil berdaftar bagi menyokong kelangsungan ekonomi mereka.

Dalam masa yang sama, bantuan turut diperluaskan kepada kumpulan sasar lain termasuk murid OKU, anak yatim, ketua isi rumah miskin, pemandu bas dan van sekolah, penerima bantuan kebajikan, jawatankuasa masjid dan surau serta pegawai agama tidak berelaun.

Turut menerima manfaat ialah petugas barisan hadapan seperti pengawal keselamatan dan pekerja pembersihan hospital serta fasiliti agama, selain pengusaha homestay, sukarelawan penggali kubur, persatuan belia dan persatuan sukan negeri.

Kata Menteri Besar Johor lagi, setiap inisiatif BKJ dirangka dengan tujuan memperkukuh jaringan sosial rakyat Johor agar tiada seorang pun tercicir daripada arus kemajuan negeri.

“Kerajaan negeri komited memastikan setiap peningkatan hasil ini dipulangkan semula kepada rakyat melalui inisiatif berimpak tinggi yang benar-benar dirasai oleh Bangsa Johor,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan negeri akan terus menambah baik inisiatif ini dari semasa ke semasa selaras dengan kemampuan fiskal negeri.

“Saya sedar dan insaf, apa yang kita laksanakan hari ini mungkin belum mencukupi. Kalau kita mampu, kita mahu bantu semua. Insya-Allah, jika hasil negeri terus meningkat, kita akan tambah lagi bantuan untuk rakyat,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast