MUADZAM SHAH – Lembaga Tabung Haji (TH) menyampaikan sumbangan kepada waris jemaah haji yang meninggal dunia di Tanah Suci, Allahyarham Mohamad Nor Sulaiman pada ulang tahun sambutan kelahiran arwah yang ke-65.
Pengarah TH Pahang, Rosdi Dollah menyantuni empat anak arwah di kediaman mereka dengan menyerahkan Takaful Khairat Kematian sebanyak RM1,500 serta air zam-zam di Desa Teratai, Muadzam Shah, di sini.
“TH merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham dan mendoakan agar roh beliau dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.
Waris, Muhammad Syakir Mohamad Nor, 31, turut menerima bayaran manfaat TH Khairat berjumlah RM48,000 daripada Hong Leong MSIG Takaful (HLMT) dan Syarikat Takaful Malaysia Berhad (STMB).

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADN) Muadzam Shah, Datuk Ir. Razali Kassim dan Pengurus Perniagaan Syarikat Takaful Malaysia Berhad (STMB) Mohd Faiz Zaki.
Ir. Razali yang juga Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang yang mewakili kerajaan negeri turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.
“Kami datang menziarahi anak-anak arwah bersama pihak Tabung Haji kebetulan pada hari lahir Allahyarham, 4 Mei (hari ini).
“Kita tahu kehilangan arwah adalah kematian yang dicemburui kerana bukan semuanya mendapat hidayah seperti ini, hanya yang terpilih sajalah di Tanah Suci, Makkah,” katanya.
Sementara itu, salah seorang anak perempuan arwah, Nur Faezah Mohamad Nor, 27, berkata, dia reda dengan pemergian ayahnya dan berharap ibunya di Tanah Suci dapat meneruskan ibadah dan pulang ke tanah air dengan selamat.
“Mak pergi berdua dengan abah, sekarang seorang bila abah sudah tiada. Kami berharap ibu dapat pulang dengan selamat dan sempurna urusan ibadah.
“Terima kasih TH, tenangkan mak di sana, terima kasih jagakan mak kami,” katanya hiba.
Allahyarham Mohamad Nor Sulaiman disahkan meninggal dunia di Hospital Jiwar Jabal Omar, Makkah pada jam 11.30 pagi waktu tempatan pada 1 Mei lalu akibat komplikasi jantung.

Bapa anak tujuh itu rebah ketika ingin menunaikan solat Jumaat ketika berada di Masjidil Haram dan dilaporkan jemaah haji pertama Malaysia meninggal dunia pada musim haji ini.
Arwah yang berlepas menunaikan haji bersama isteri Salila Kasmin, 56, pada 21 April lalu antara 1,680 jemaah dari Pahang. – MalaysiaGazette
















