Tian Soon dalam sidang akhbar semasa persidangan DUN di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, Iskandar Puteri hari ini.

ISKANDAR PUTERI –Cadangan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan yang akan dibawa dalam pembentangkan rang undang-undang pindaan Perlembagaan Khamis ini masih belum diputuskan wakilnya daripada parti mana.

Ketua Pemuda MCA Pusat, Ling Tian Soon berkata, perkara tersebut masih belum dibincangkan secara terperinci ketika ini termasuk sama ada MCA mempunyai wakilnya.

“Tapi sekurang-kurangnya ada satu kaedah supaya kerajaan negeri boleh melantik lima ADUN dan juga perlu dapat perkenan daripada Tuanku.

“Apabila Tuanku luluskan barulah boleh kita buat lantikan tersebut. Ini adalah untuk kita dapat mempermudahkan (tugas wakil rakyat sedia ada) dan juga menambah perkhidmatan profesional kepada Bangsa Johor,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar semasa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di sini hari ini.

Dalam sidang DUN semalam, Pengarah Strategik DAP, Liew Chin Tong membangkitkan isu tersebut yang didakwa akan dibawa dalam sidang DUN sebelum dilaksana kerajaan negeri.

Beliau dilaporkan berkata, daripada mewujudkan ADUN lantikan, lebih baik melaksanakan persempadanan semula untuk menambah bilangan kerusi DUN.

Menurutnya, persempadanan semula adalah pendekatan lebih sesuai dan tepat memandangkan terdapat tujuh kerusi yang mempunyai pengundi hampir atau melebihi 100,000 orang.

Naib Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Jimmy Puah Wee Tse turut tidak bersetuju dengan langkah tersebut yang disifatkan sebagai satu cabaran terhadap legitimasi demokrasi di negeri ini.

Mengulas lanjut, Tian Soon berkata, cadangan untuk persempadan semula susulan bilangan pengundi yang ramai akan mengambil masa yang lama.

Jelasnya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, ini kerana proses tersebut perlu dibawa ke peringkat Pusat.

Mengenai kritikan Wee Tse, beliau berkata, Ahli Parlimen Tebrau itu perlu melihat terlebih dahulu negeri seperti Sabah dan Pahang yang sudah melaksanakan ADUN lantikan manakala Sarawak dalam proses membawa perkara tersebut ke peringkat Pusat untuk kelulusan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast