Dr Sahruddin Jamal bersama barisan kepimpinan pengimbang dalam sidang akhbar semasa sidang DUN di Bangunan Sultan Ismail, Iskandar Puteri, hari ini.

ISKANDAR PUTERI – Pembentangan rang undang-undang pindaan Perlembagaan berkenaan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Khamis ini disifatkan tergesa-gesa.

Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, sepatutnya satu sesi libat urus melibatkan semua ADUN kerajaan dan pengimbang dilakukan sebelum cadangan itu dibawa ke peringkat DUN.

“Kami tidak tahu apa prosedur dan proses pelantikan yang ingin diketengahkan Menteri Besar dan apa syarat-syaratnya. Kami tidak pernah dipanggil untuk libat urus jadi kami tidak tahu. Kalau ada libat urus kami boleh bagi idea dan pandangan.

“Kami yang merupakan pembangkang tulen di negeri ini tertanya-tanya, tetapi rupanya bukan kami sahaja sebaliknya rakan Kerajaan Perpaduan iaitu ADUN Pakatan Harapan (PH) juga dilihat tidak menyokong ADUN lantikan, mungkin hubungan antara mereka tidak harmoni,” katanya.

Beliau yang juga ADUN Bukit Kepong berkata demikian dalam sidang akhbar semasa sidang DUN di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini hari ini.

Turut hadir, Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Amira Aisya Abd Aziz, Ketua Angkatan Anak Muda (Armada) Bersatu Johor, Alias Rasman dan Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor, Syafiq Aziz.

Dalam sidang DUN semalam, Pengarah Strategik DAP, Liew Chin Tong membangkitkan isu tersebut yang didakwa akan dilaksanakan kerajaan negeri.

Beliau dilaporkan berkata, daripada mewujudkan ADUN lantikan, lebih baik melaksanakan persempadanan semula untuk menambah bilangan kerusi DUN.

Naib Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Jimmy Puah Wee Tse turut tidak bersetuju dengan langkah tersebut yang disifatkan sebagai satu cabaran terhadap legitimasi demokrasi di negeri ini.

Sementara itu, Amira Aisya yang juga ADUN Puteri Wangsa mempersoalkan kriteria untuk lima ADUN lantikan tersebut dan sama ada mereka daripada parti yang mewakili kerajaan negeri.

Beliau turut mempersoalkan sama ada ADUN lantikan terbabit akan mendapat kemudahan seperti ADUN sedia ada termasuk mendapat persaraan selain fungsi mereka di dalam DUN.

“Sekiranya melibatkan individu daripada parti yang menang (pilihan raya) maka tidak perlu, masuk sahaja pilihan raya dan jika menang buatlah kerja sebagai ADUN sebenar.

Dalam pada itu, Alias berkata, pihaknya tidak mahu ‘pisang berbuah dua kali’ apabila peranan ADUN lantikan tersebut nanti sama seperti penyelaras DUN yang lebih bermotifkan politik.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast