KUALA LUMPUR – Dua muzik rock dan metal tempatan, dua nama besar, Cromok dan Barbarik bakal berkongsi pentas menerusi konsert Black On White Cromok-Barbarik di IdeaLive, 3 Damansara, Petaling Jaya pada 27 Jun ini.
Gabungan dua kumpulan itu bukan sahaja mempertemukan dua identiti muzik yang berbeza tetap turut membawa pendekatan persembahan yang lebih moden selari dengan perkembangan teknologi semasa.
Selain persembahan bertenaga, konsert itu juga akan diperkaya dengan elemen visual dan produksi yang memanfaatkan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) menjadikannya antara persembahan yang berbeza daripada kebiasaan dalam industri muzik tempatan.
Bagi kumpulan legenda metal tanah air, Cromok, perubahan tersebut bukan sekadar trend tetapi satu evolusi yang perlu diadaptasi.
Menurut gitarisnya, Karl, penggunaan teknologi digital bukan sahaja meningkatkan kualiti persembahan, malah memudahkan keseluruhan operasi sesebuah produksi.
“Ramai artis antarabangsa sekarang tidak lagi menggunakan monitor besar di atas pentas. Mereka menggunakan sistem monitor dalam telinga (IEM) sepenuhnya yang menunjukkan arah industri sememangnya ke digital.
“Selain peningkatan kualiti, faktor kos turut menjadi antara pemangkin utama dan penggunaan peralatan analog konvensional memerlukan pelaburan tinggi yang boleh mencecah puluhan ribu ringgit.
“Penggunaan sistem digital juga mengurangkan kebergantungan kepada peralatan sewaan serta mempercepatkan proses pemasangan di lokasi persembahan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Karl menambah, Cromok turut memanfaatkan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) dalam proses kreatif mereka.
Ini kerana katanya proses penciptaan muzik kini lebih fleksibel berbanding era analog yang memerlukan rakaman secara ‘one take’.
“Sekarang kita boleh sunting dan susun muzik dengan lebih cepat di mana AI pula membantu dalam menjana idea visual.
“Malah, muzik video single terbaru kami dihasilkan sepenuhnya menggunakan teknologi AI tanpa penggambaran tradisional,” katanya.
Sementara itu, Konsert Black On White Cromok-Barbarik menawarkan beberapa kategori tiket dengan harga bermula daripada RM175 hingga RM998.
Tiket boleh didapati menerusi laman web MyArteez dan Fantopia.
Konsert anjuran KARL Legacy dengan kerjasama Pentas Barbarik itu turut mendapat sokongan Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Ventures. – MalaysiaGazette
















