Logo Kementerian Kesihatan

KUALA LUMPUR – Penetapan kuota perjawatan tenaga kerja kesihatan adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Kementerian Kesihatan (KKM) berkata, urusan pelantikan pula dilaksanakan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

“Manakala KKM bertanggungjawab mengurus permohonan, pengisian, penempatan dan penyampaian perkhidmatan kesihatan di fasiliti KKM,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Kementerian tersebut menegaskan bahawa proses pengambilan Pegawai Perubatan Siswazah (PPS) berjalan secara konsisten.

Menurutnya, berdasarkan data tahun 2022 hingga 2025, KKM secara purata menerima sekitar 3,200 PPS setiap tahun.

Jelasnya, pengisian dan penempatan PPS dibuat secara berperingkat melalui enam siri setahun kerana graduan perubatan menamatkan pengajian pada masa yang berbeza.

“Bagi isu pengambilan PPS, 529 orang graduan yang melapor diri adalah merujuk kepada kemasukan Siri 1 Tahun 2026 sahaja,” katanya lagi.

Tambah KKM, seramai 328 daripada 4,500 pegawai perubatan kontrak telah ditawarkan pelantikan tetap pada Februari lalu, manakala baki seramai 4,172 Pegawai Perubatan kontrak akan ditawarkan lantikan tetap secara berfasa pada tahun ini.

Mengulas lanjut kementerian itu berkata, antara penambahbaikan yang dilakukan secara berterusan termasuk penurunan kuasa bagi pelantikan kontrak skim perkhidmatan di KKM.

“Pengecualian syarat temu duga bagi pelantikan tertentu, pewujudan jawatan baharu melalui projek fasiliti baharu dan naik taraf, penambahbaikan beberapa elaun seperti Elaun Atas Panggilan dan elaun berkaitan tugasan selepas waktu pejabat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast