Amira Aisya Abd Aziz dalam sidang akhbar pada sidang DUN di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, Iskandar Puteri, hari ini.

ISKANDAR PUTERI – Kerajaan Negeri Johor perlu memansuhkan jawatan Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) kerana banyak kerenah birokrasi dan bermotifkan politik.

Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Amira Aisya Abd Aziz berkata, kewujudan jawatan lantikan itu hanya menyusahkan rakyat terutama di kawasan DUN yang tidak dimenangi parti kerajaan.

ADUN Puteri Wangsa itu berkata, sebagai contoh kawasan yang tidak diwakili parti kerajaan akan berdepan kesukaran kerana bantuan tidak diberi secara terus kepada ADUN pengimbang.

“Bantuan yang disalurkan kerajaan perlu diminta daripada penyelaras. Ini satu cara politik lama yang kita tidak perlu teruskan.

“Menerusi cara ini, yang tertindas bukan kami tapi rakyat kerana rakyat yang susah payah kena cari penyelaras yang mereka tidak kenal atau undi,” katanya dalam sidang akhbar semasa sidang DUN di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal; Ketua Angkatan Anak Muda (Armada) Bersatu Johor, Alias Rasman dan Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor, Syafiq Aziz.

Amira Aisya mendakwa, sepanjang satu penggalnya berkhidmat, Pusat Khidmat DUN Puteri Wangsa antara penyumbang aduan yang terbanyak dalam kawasan Johor Bahru.

Pihaknya membuat 1,095 aduan kepada pihak berkuasa tempatan dan agensi kerajaan merangkumi pelbagai isu asas rakyat daripada jalan berlubang, lampu jalan tidak berfungsi, lampu trafik rosak, longkang tersumbat sehingga longgokan sampah yang tidak dikutip.

“Saya telah menerima beberapa aduan di mana tandatangan saya sebagai ADUN ditolak dalam borang rasmi permohonan dari Kerajaan Negeri Johor hanya kerana perbezaan pegangan politik.

“Sehinggakan ada penduduk yang sudah susah payah hantar borang ke agensi, disuruh balik untuk mencetak borang baharu dan cari penyelaras untuk turunkan tandatangan ke borang bantuan,” katanya.

Tegasnya, ini adalah satu perkara yang tidak boleh diterima dan rakyat tidak mengundi penyelaras sebaliknya mengundi ADUN.

“Mereka tidak kenal siapa penyelaras dan bagaimana nak hubungi penyelaras. Ini bukan sahaja mengelirukan rakyat, tetapi juga menjejaskan kecekapan sistem penyampaian bantuan.

“Rakyat kebanyakan tidak peduli siapa kerajaan dan siapa pembangkang apabila mereka berdepan masalah. Walaupun kita berbeza pandangan dan pegangan politik, janganlah sampai menyusahkan rakyat yang mahu memohon bantuan,” katanya.

Beliau berharap mana-mana pihak yang menjadi kerajaan negeri selepas ini tidak meneruskan budaya penyelaras itu yang hanya akan mengelirukan rakyat dan juga menyusahkan kerja-kerja seharian pegawai-pegawai awam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast