ALOR GAJAH – Pemandu van persiaran yang positif dadah sebelum terbabit kemalangan di Kilometer 212 arah selatan Lebuhraya Utara-Selatan, di sini pagi semalam direman tujuh hari oleh Mahkamah Sesyen Alor Gajah di sini hari ini.
Perintah reman terhadap lelaki tempatan berusia 55 tahun itu dikeluarkan Hakim Kamarul Aris Kamalluddin sehingga 11 Mei ini.
Ia bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 44(1A)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kecederaan.
Untuk rekod, ini merupakan kes kali kedua pemandu pengangkutan awam dihadapkan ke mahkamah selepas didapati positif dadah jenis syabu ketika membawa penumpang.
Semalam, media melaporkan Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ahmad Abu Bakar mengesahkan hasil ujian saringan awal air kencing terhadap pemandu van persiaran itu menunjukkan positif dadah jenis methamphetamine.
Nahas kira-kira jam 10.30 pagi itu berpunca apabila kenderaan dipandu suspek membawa lapan pelancong warga India yang sedang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Melaka dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke bahu kiri jalan.
Kemalangan mengakibatkan tiga mangsa cedera ringan iaitu lelaki dewasa berusia 52 tahun serta dua kanak-kanak lelaki berumur 9 dan 13 tahun.
Kesemua mangsa yang cedera telah dihantar ke Hospital Melaka manakala pemandu tidak mengalami kecederaan.
Pada 24 April lalu, media melaporkan pemandu bas ekspres yang tular memandu sebelah tangan dan disahkan positif dadah jenis syabu membawa 13 penumpang dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan dan denda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret Alor Gajah.
Ia selepas tertuduh, Mohd. Tamrin Ibrahim, 53, mengaku bersalah memandu bas dengan cara berbahaya dan berada dalam keadaan khayal dadah ketika sedang dalam perjalanan dari Ipoh, Perak menuju ke Johor Bahru.
Kesalahan itu dilakukan di Kilometer 196.1 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan berhampiran Persimpangan Ayer Keroh, Melaka, kira-kira pukul 3.50 pagi, 15 April 2026.
Kejadian terbongkar selepas tular rakaman video berdurasi satu minit 20 saat menunjukkan pemandu bas terbabit memandu dalam keadaan khayal sambil duduk menyandar ke belakang selain hanya memegang stereng menggunakan sebelah tangan.
Pada Disember tahun lalu, pemandu ‘bas pink’ yang tular videonya melakukan aksi pemanduan berbahaya zig zag dengan sebuah Perodua Axia di Taman Angkasa Nuri, di sini, juga disahkan positif syabu.
Hasil ujian saringan awal air kencing terhadap pemandu lelaki berusia 47 tahun itu juga didapati positif dadah jenis methamphetamine – MalaysiaGazette
















