Serbuan ke rumah yang dijadikan pusat lombong bitcoin di Kuantan

KUANTAN – Kediaman yang dijadikan pusat operasi pelombongan mata wang kripto (Bitcoin) secara haram menyumbang risiko kepada kejadian litar pintas yang membahayakan unit kediaman berhampiran.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, ia berikutan pendawaian yang tidak mengikut spesifikasi di premis terlibat selain penyambungan haram sumber elektrik secara berlebihan.

“Kalau kita tengok pendawaian yang dibuat tadi, memang berselirat dan nak berjalan pun susah. Kalau berlaku litar pintas, bila-bila masa boleh meletup dan boleh berlaku kebakaran. Dan sudah pasti rumah sebelah terlibat.

“Kita mohon kerjasama rakyat supaya peka. Kalau kita tengok rumah-rumah yang kita pergi ini, seolah-olah tiada penghuni.

“Jadi, orang-orang (jiran) sebelah perlu ambil tahu mengenai jiran sebelah dan laporkan kepada pihak berkuasa jika mengesyaki terdapat aktiviti-aktviti yang mencurigakan,” katanya.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad ketika ditemui di sini hari ini

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas operasi serbuan ke atas dua buah premis kediaman di Taman Seri Mahkota dan Perkampungan Seri Mahkota Permai, di sini.

Serbuan tersebut dijalankan bermula kira-kira jam 10 pagi tadi oleh hampir 60 kakitangan dan pegawai daripada Suruhajaya Tenaga (ST) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang turut dihadiri Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif ST, Ir. Roslee Esman dan Pengarah Jabatan Penguatkuasaan dan Operasi (ST), Ismail Zaili Yusop.

Menurut Abdul Rahman, sebanyak keseluruhan 28 mesin pelombongan Bitcoin disita dalam serbuan ke atas kedua-dua premis tersebut di mana kerugian yang dicatatkan sekitar RM34,000 sebulan.

Selain mengundang bahaya kepada orang awam, katanya, aktiviti sindiket pelombongan mata wang kripto secara haram seperti itu turut mengakibatkan kerugian tenaga yang signifikan kepada negara dan harus dibanteras secara besar-besaran.

“Kalau kita mengambil pengiraan purata, setahun kerugian kita mencecah lebih RM700 juta. Itu jumlah yang direkodkan pada tahun 2025. Bayangkan dalam masa 10 tahun jika tidak dibanteras secara besar-besaran seperti ini, negara terpaksa menanggung kerugian yang sangat besar.

“Jadi, kes ini akan disiasat oleh ST di bawah Seksyen 37(3), Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447) di mana jika sabit kesalahan, individu terbabit akan berhadapan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tak lebih setahun atau kedua-duanya,” katanya.

Sementara itu, Abdul Rahman turut menyarankan pemilik kediaman agar membuat penukaran daftar nama bil elektrik  kepada nama penyewa agar tidak dipertanggungjawabkan ke atas aktiviti-aktiviti haram yang dikesan di rumah milik mereka. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast