Kumpulan legenda tanah air, Slam.

KUALA LUMPUR – Kumpulan legenda tanah air, Slam bakal mengembalikan momen ikonik dua dekad lalu menerusi konsert The Grand Slam Unplugged 2 yang dijadual berlangsung pada 20 Jun ini, di Mega Star Arena di sini.

Pengumuman itu dibuat dalam sidang media yang diadakan di Rumah Kayu 1928, Kuang, petang tadi.

Konsert itu merupakan kesinambungan kepada edisi pertama yang berlangsung pada 3 Ogos 1996 di Stadium Merdeka, yang kekal diingati sebagai antara detik bersejarah industri muzik tempatan.

Gitaris Slam, Shah berkata, penganjuran kali ini bukan sekadar mengulangi kejayaan lalu, sebaliknya menjadi platform meraikan karya serta perjalanan seni kumpulan itu bersama peminat.

“Ia bukan sebuah konsert ulang tayang, tetapi sebuah apresiasi dan perayaan terhadap lagu-lagu Slam yang terus diterima dari era kaset hingga ke platform penstriman hari ini,” katanya.

Menurutnya, konsep unplugged yang diketengahkan akan membawa elemen nostalgia dengan pendekatan lebih segar, sekali gus mencipta momen baharu berasaskan kenangan silam.

Sementara itu, pemain dram Slam, Osman Khalid berkata, sambutan terhadap konsert berkenaan amat menggalakkan apabila 70 peratus tiket telah terjual sejak dilancarkan pada 13 Februari lalu.

“Kami sangat bersyukur dengan sokongan peminat yang masih setia bersama Slam hingga ke hari ini,” katanya.

Bagi memeriahkan konsert tersebut, Slam turut menampilkan tiga figura penting industri muzik iaitu Aznan Alias, JoBranko dan Kid Search.

Slam bersama barisan artis jemputan yang bakal memeriahkan lagi konsert The Grand Slam Unplugged 2 yang dijadual berlangsung pada 20 Jun hadapan di Mega Star Arena, Kuala Lumpur.

Aznan menyifatkan penglibatannya sebagai satu penghormatan, selain menganggap Slam sebagai wajah sebenar genre pop Melayu.

JoBranko pula berkata, penyertaannya dalam konsert itu melambangkan hubungan erat sesama pemuzik serta mengakui keupayaan Slam bertahan dalam industri selama puluhan tahun.

“Slam memiliki banyak lagu evergreen dan peminat setia, jadi saya percaya konsert ini akan berlangsung sukses,” katanya.

Kid turut menyifatkan penglibatannya sebagai satu bentuk apresiasi sesama penggiat seni walaupun datang daripada latar genre berbeza.

Konsert The Grand Slam Unplugged 2 dijangka menjadi platform untuk menghidupkan semula kenangan lama sambil mencipta pengalaman baharu buat peminat muzik tempatan. – MalaysiaGazette



IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast