Seorang lelaki rakyat Myanmar diiring anggota polis tiba di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur untuk didakwa di Mahkamah Majistret kerana membunuh bekas isterinya di sebuah kondominium di Setapak. Foto SADIQ SANI, 05 MEI 2026.

KUALA LUMPUR – Seorang penganggur warganegara Myanmar didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh bekas isterinya di hadapan sebuah blok kondominium di Setapak, bulan lalu.

Aung Tun Ngwa, 26, mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nurul Izzah Hasan Basri.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Tun Ngwa didakwa membunuh Merry Yet Ngwa, 33, yang juga warga Myanmar di hadapan Blok 1, Kondominium Genting Court, Taman Setapak Indah Jaya, di sini, pada 2.30 petang, 23 April lalu.

Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun serta minimum 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 31 Julai untuk sebutan kes.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor M. Naresh Kumar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pada 24 April lalu, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus dilapor berkata, pihaknya menerima maklumat seorang wanita warga Myanmar maut dipercayai akibat ditikam oleh bekas suaminya dan hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa akibat kecederaan tikaman di bahagian dada. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast