Amira Aisya dan Sahruddin dalam sidang akhbar semasa sidang DUN di Bangunan Sultan Ismail, Iskandar Puteri, hari ini

ISKANDAR PUTERI – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang atau pengimbang yang tidak bersetuju pembentangan rang undang-undang (RUU) pindaan Perlembagaan berhubung cadangan pelantikan lima ADUN dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor esok wajar mengemukan bantahan.

Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Amira Aisya Abd Aziz berkata, ia kerana perkara berkaitan ADUN lantikan tersebut masih kabur malah perlu diperhalusi.

Beliau yang juga ADUN Puteri Wangsa berkata, keputusan berkaitan dasar tersebut wajar dibuat secara lebih berhati-hati dengan mengambilkira pandangan semua pihak termasuk semua ADUN serta pemegang taruh berkaitan.

“Sekiranya RUU tersebut tetap diteruskan, proses penelitian semula perlu dilaksanakan bagi memastikan ia benar-benar memenuhi keperluan dan tidak memberi kesan yang tidak diingini pada masa hadapan.

“Kerajaan negeri atau mana-mana pihak yang membentuk kerajaan selepas ini wajar kembali duduk berbincang dengan semua pihak berkepentingan bagi menambah baik cadangan tersebut,” katanya pada sidang media di DUN Johor di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar hari ini.

Turut hadir Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal; Ketua Angkatan Anak Muda (Armada) Bersatu Johor, Alias Rasman dan Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor, Syafiq Aziz.

Mengulas lanjut, Amira berkata, terdapat tiga perkara yang perlu diberi penjelasan iaitu berkenaan kelayakan mereka yang dilantik sebagai ADUN tersebut.

“Apakah mereka daripada kalangan orang politik atau mereka yang mempunyai kepakaran tertentu?” soalnya.

Kedua, katanya, adakah mereka dilantik untuk memenuhi kuota tertentu dan ketiga adakah akan menerima gaji dan keistimewaan sama seperti ADUN biasa.

Sementara itu, Dr Sahruddin pula berkata, pihaknya menyuarakan pandangan dan kegusaran demi Bangsa Johor agar perkara itu dapat diteliti dan perbaiki.

Ditanya sama sidang DUN kali ini yang terakhir sebelum DUN dibubarkan, bekas Menteri Besar Johor itu menjawabnya secara berseloroh.

“Kalau kita lihat secara kasar dan dengar apa yang Exco katakan hari ini, hasil daripada pembentangan tentang Bantuan Kasih Johor (BKJ), ucapan mereka seolah-olah esok nak raya,” sindirnya. –  MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast