PUTRAJAYA – Siasatan terhadap bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli dan bekas pembantunya James Chai kini hampir siap dengan hanya dua lagi keterangan saksi yang belum dirakam, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysua (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Beliau berkata, dua saksi yang tinggal ialah seorang individu di Taiwan dan seorang lagi di Malaysia dengan kertas siasatan dijangka diserahkan kepada timbalan pendakwa raya sejurus selepas keterangan akhir diperoleh.
Azam berkata, kes itu disiasat atas dakwaan penyalahgunaan kuasa, penipuan dan pecah amanah jenayah.
Katanya, pegawai penyiasat telah mengenal pasti dua individu untuk kemungkinan didakwa, namun menegaskan bahawa keputusan untuk mendakwa terletak di bawah bidang kuasa Jabatan Peguam Negara Malaysia.
“Kami telah mengenal pasti dua individu yang mungkin akan kami syorkan untuk didakwa di mahkamah.
“Namun, ia tertakluk kepada keputusan Jabatan Peguam Negara pada masa yang sesuai,” katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan karya seni bernilai tinggi berkaitan pemulihan aset 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di ibu pejabat SPRM di sini hari ini.
Azam berkata, penyiasat sedang meneliti unsur jenayah dalam kes berkenaan dan proses akan berjalan seperti biasa, dengan dapatan siasatan akan dinilai oleh timbalan pendakwa raya dan Peguam Negara sebelum sebarang keputusan muktamad dibuat.
Bagaimanapun, beliau enggan menamakan individu yang terlibat.
Kenyataan Azam itu dipercayai merujuk kepada siasatan SPRM terhadap perjanjian semikonduktor kerajaan yang mencetuskan kontroversi dengan syarikat pereka cip berpangkalan di United Kingdom, Arm Holdings yang diteliti dari segi struktur, nilai dan proses kelulusannya.
Kertas siasatan dibuka pada 16 Februari susulan aduan daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Rafizi telah dirakam keterangan oleh SPRM bulan ini berhubung perjanjian tersebut, manakala James Chai turut dipanggil beberapa kali bagi membantu siasatan.
Laporan menyatakan kes itu disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009, selain beberapa kemungkinan kesalahan lain turut diteliti.
Perjanjian berkenaan diumumkan pada Mac tahun lalu, dengan kerajaan menyatakan ia akan membayar Arm kira-kira AS$250 juta dalam tempoh 10 tahun bagi mendapatkan harta intelek semikonduktor, pelan reka bentuk serta sokongan latihan sebagai sebahagian usaha Malaysia memperkukuh kedudukannya dalam industri cip. – MalaysiaGazette
















