KUALA LUMPUR – Isu teknikal menyebabkan sebahagian pemegang fleet card Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) dan Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) tidak menerima kuota subsidi bahan api bermula 1 Mei lepas.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berkata, situasi itu berpunca daripada masalah integrasi antara sistem MySikap Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan sistem MySubsidi KPDN.
“Sehubungan itu, KPDN sedang melaksanakan tindakan pembetulan dan semakan bersama pihak berkaitan bagi memastikan pengemaskinian data serta penjanaan semula kuota dapat dilaksanakan dengan segera,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurutnya, ia melibatkan sesetengah pemilik kenderaan yang memperbaharui Lesen Kenderaan Motor (LKM), mendaftar kenderaan baharu dan tukar milik kenderaan dalam tempoh 1 hingga 28 April lalu.
Kementerian itu menjangkakan kuota bagi pemegang fleet card SKDS dan SKPS terkesan dapat dijana semula dalam tempoh 9 hingga 11 Mei.
Menurutnya, pemegang fleet card SKDS dan SKPS yang terkesan boleh mengemukakan pemohonan untuk semakan dan pengemaskinian melalui pautan https://forms.gle/hQy1ZQZ2NZoBFJgeA selewat-lewatnya pukul 5 petang, esok.-MalaysiaGazette
















