PEKEMA kembali menganjurkan PEKEMA Golf President’s Cup bagi Edisi Ke-12 tahun ini.

KUALA LUMPUR – Susulan kejayaan penganjuran tahun lalu yang mendapat sambutan amat menggalakkan, Persatuan Pengimpot dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) kembali menganjurkan PEKEMA Golf President’s Cup bagi Edisi Ke-12 tahun ini dengan skala yang lebih besar serta tawaran hadiah yang lebih menarik.

Kejohanan golf tahunan itu dijangka menarik penyertaan lebih ramai pemain golf dari seluruh negara, termasuk penggiat industri automotif, rakan strategik korporat serta komuniti golf tempatan, sekali gus memperkukuh jaringan hubungan strategik antara pemain industri dan rakan kerjasama PEKEMA.

Sebagai tarikan utama, edisi kali ini menawarkan hadiah hole-in-one yang lebih eksklusif melibatkan lima lubang terpilih.

Empat daripadanya menawarkan hadiah kenderaan elektrik daripada jenama Dongfeng termasuk dua unit Dongfeng Box, model baharu Dongfeng Vigo serta model premium Dongfeng 007.

Selain itu, satu lagi lubang menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM28,888, menjadikan tawaran hole-in-one edisi kali ini antara yang paling menarik dalam sejarah penganjuran kejohanan ini.

Kejohanan golf berprestij ini akan berlangsung di Palm Garden Golf Club, Putrajaya, lokasi yang sama yang mencatat kejayaan besar pada edisi ke-11 tahun lalu apabila hampir 500 pemain golf amatur dari seluruh negara mengambil bahagian.

Presiden PEKEMA, Datuk Mohamed Nazari Noordin berkata, kejayaan penganjuran di Putrajaya tahun lalu membuktikan kejohanan tersebut mempunyai potensi besar untuk berkembang sebagai antara kejohanan golf amal korporat terbesar di Malaysia.

“Melihat kepada sambutan luar biasa tahun lalu, PEKEMA optimis edisi ke-12 ini akan menarik penyertaan yang lebih besar daripada komuniti golf serta rakan industri dari seluruh negara.

“Kejohanan ini bukan sekadar pertandingan sukan, tetapi juga platform strategik untuk mengukuhkan jaringan industri, memperluaskan hubungan perniagaan serta melaksanakan tanggungjawab sosial kepada masyarakat,” katanya dalam satu  kenyataan hari ini.

Datuk Mohamed Nazari Noordin.

Bagi edisi kali ini, kejohanan menawarkan hadiah keseluruhan bernilai lebih RM500,000 termasuk empat buah kereta elektrik Dongfeng sebagai hadiah hole-in-one di lubang terpilih iaitu 7, 12, 14 dan 17.

Peserta juga berpeluang memenangi wang tunai RM28,888.00 untuk hadiah hole-in-one di lubang 2.

Antara hadiah utama yang ditawarkan ialah dua unit kenderaan elektrik Dongfeng BOX; model baharu Dongfeng Vigo dan model premium Dongfeng 007.

Selain itu, peserta juga berpeluang memenangi pelbagai hadiah lain termasuk Grand Lucky Draw bernilai RM20,000; hadiah kategori Medal A, B, C, Ladies dan Senior dan novelty prizes seperti Nearest to Pin, Longest Drive dan Nearest to the Line.

Setiap peserta juga akan menerima goodie bag eksklusif daripada PEKEMA.

ANTARA hadiah menarik ditawarkan pada PEKEMA Golf President’s Cup bagi Edisi Ke-12.

Sejak PEKEMA golf diperkenalkan pada tahun 2006 sehingga 2024, kejohanan ini telah diadakan di Sabah.

Namun, pada tahun lalu, edisi ke-11 PEKEMA golf membuka lembaran baharu dalam sejarah penganjuran apabila buat julung kalinya ia dibawa ke Semenanjung Malaysia iaitu di Palm Garden Golf Club, Putrajaya.

Melihat kepada kejayaan tersebut, PEKEMA yakin bahawa kejohanan ini mempunyai potensi besar untuk terus berkembang dan menjadi acara yang dinanti-nantikan setiap tahun oleh komuniti golf negara.

PEKEMA turut mengalu-alukan lebih banyak syarikat tempatan dan antarabangsa untuk menyertai sebagai penaja bagi edisi ke-12, sekali gus memperkukuhkan platform jaringan industri yang dibina melalui kejohanan ini.

Sementara itu, seperti tahun-tahun sebelumnya, kejohanan ini turut membawa misi kebajikan.

Pada tahun ini, PEKEMA sekali lagi bekerjasama dengan Yayasan PEKEMA untuk menyalurkan bantuan kepada bekas atlet negara yang pernah menyumbang kepada sukan tanah air.

“Dengan kerjasama Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB), kita kenal pasti 10 bekas atlet yang akan menerima sumbangan.

“Salah seorang daripadanya adalah bekas pemain golf profesional negara, Shaaban Hussin, yang pernah mengharumkan nama malaysia dalam pelbagai kejohanan antarabangsa.

“Shaaban merupakan pemenang tempat kedua dalam siri Jelajah Asia di Kejohanan Terbuka Kamboja 2009; pemenang pingat emas Sukan SEA 2001 serta telah tiga kali menyertai siri Jelajah PGA AS CIMB Classic pada tahun 2010 sehingga 2012,” kata Mohamed Nazari.

PEKEMA kembali menganjurkan PEKEMA Golf President’s Cup bagi Edisi Ke-12 tahun ini.

Melalui inisiatif itu, PEKEMA berharap dapat memberi sedikit penghargaan kepada atlet negara yang telah berkorban demi mengangkat martabat sukan malaysia.

Inisiatif ini mencerminkan komitmen PEKEMA untuk menggabungkan sukan, jaringan industri dan tanggungjawab sosial dalam satu platform yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Dalam pada itu, PEKEMA mengalu-alukan penyertaan daripada semua pemain golf di Malaysia, sama ada pemain amatur, pemain korporat mahupun peminat sukan golf yang ingin menjadi sebahagian daripada kejohanan berprestij ini.

Pendaftaran kini dibuka dan slot penyertaan dijangka dipenuhi dengan pantas berdasarkan sambutan luar biasa pada tahun lalu. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast