SEPANG – Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan membuat hantaran jelik dan melampau menggunakan perkhidmatan aplikasi iaitu akaun Facebook “Bro Li Angel” kira-kira jam 2.32 pagi, pada 23 Disember 2025.
Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama.
Tertuduh, Mohd Azli Abdul Aziz, 59, didakwa secara sedar memulakan penghantaran komunikasi jelik dan melampau sifatnya iaitu “Raja Raja Melayu Sudah Hilang Kuasa Hakim Bangsa Cina Berani Perlekehkan. Bubar Perlembagaan Tubuh Republik Bagi Cina Perintah”.
Kesalahan itu dilihat ejen kerajaan di Aras 8, MCMC Tower 1, Jalan IMPACT, Cyber 6, Cyberjaya, di sini, kira-kira jam 12.30 tengah hari, pada 25 Disember 2025.
Prosiding itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fadhli Ab Wahab, manakala tertuduh pula diwakili peguam, Shastidaran Sathaiseelan.
Terdahulu pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dengan mengambil kira kepentingan awam dan tahap keseriusan kes terbabit.
Bagaimanapun, pihak pembelaan merayu jaminan buat anak guamnya dikurangkan kepada RM3,000 dengan mengambil kira faktor umur yang mencecah warga emas, selain mempunyai tanggungan enam anak, tiada pekerjaan tetap serta terlibat dalam kemalangan pada Oktober 2025.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh dikenakan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 Jun ini sebagai tarikh sebutan kes. – MalaysiaGazette
















