ISKANDAR PUTERI – Pakatan Harapan (PH) Johor mencadangkan usul rang undang-undang (RUU) berhubung pelantikan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) ditarik balik.
Ketua Pengimbang Johor, Andrew Chen Kah Eng berkata, perkara tersebut memerlukan perbincangan lanjut kerana blok PH tidak bersetuju dengan pelantikan lima ADUN.
Beliau yang juga ADUN Stulang mendakwa pelantikan tersebut dibawa secara tergesa-gesa dalam sidang DUN.
“Saya nak tanya, adakah kita boleh bentang sesuatu Enakmen Pindaan dengan nama undang-undang yang tidak tepat dan tidak konsisten dalam warta? Kemudian dikemukakan untuk persetujuan?
“The Law Of The Constutuition of 1895 bukan Law of the Constituition of Government of 1985. Dan dalam warta ada 1895 ada 1985.
“Jadi, saya cadang mungkin kita tarik balik dulu dan bincang lagi,” katanya berucap dalam sidang DUN di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di sini hari ini.
Andrew Chen berkata, jawatan ADUN lantikan harus cenderung kepada kumpulan yang mempunyai kepakaran tertentu bagi membolehkan mereka mengutarakan pendapat profesional dalam dewan.
“Lantikan juga perlu daripada kumpulan yang mewakili golongan minoriti di mana representasi dianggap ketinggalan dan perlu dipertimbangkan bagi memastikan suara minoriti diwakili,” katanya.
Selain itu, katanya, perbincangan melibatkan persempadanan semula DUN Johor adalah lebih relevan berbanding soal ADUN lantikan.
“Kalau nak tambah ADUN, melalui persempadan semula kita boleh juga tambah sehingga 10 ADUN secara keseluruhan di Johor. Jika langkah itu boleh dibuat mengapa perlu adanya ADUN lantikan.
“Kami rasa proses pembawaan usul ini boleh diperbaiki, di mana sepatutnya ada rundingan atau perbincangan dengan pihak pengimbang sebelum ini,” katanya.
DUN Johor hari ini meluluskan RUU berhubung cadangan mewujudkan jawatan lima ADUN lantikan yang memperoleh majoriti dua pertiga bagi membolehkan pindaan undang-undang negeri dibuat dengan 40 ADUN menyokong manakala 16 lagi menentang.- MalaysiaGazette
















