Exco Armada Bersatu, Na’im Brundage.

KUALA LUMPUR – Armada Bersatu Malaysia menyambut baik keputusan sebulat suara Mahkamah Rayuan yang membenarkan Badan Peguam meneruskan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam kes Yayasan Akalbudi.

Pengarah Jabatan Komunikasi dan Media Baharu Exco Armada Bersatu Malaysia, Na’im Brundage berkata, keputusan itu membuktikan kuasa Peguam Negara turut tertakluk kepada proses semak dan imbang dalam sistem perundangan negara, khususnya apabila kes berprofil tinggi melibatkan kepentingan awam.

Katanya, keputusan DNAA terhadap 47 pertuduhan membabitkan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram selepas mahkamah mendapati wujud kes prima facie telah menimbulkan persoalan besar terhadap integriti sistem keadilan negara.

“Mahkamah Rayuan sendiri menyifatkan kes berkenaan sebagai “jarang berlaku dan luar biasa’, sekali gus menunjukkan ia bukan isu kecil atau remeh kerana melibatkan implikasi besar terhadap keyakinan rakyat kepada institusi undang-undang negara.

“Jika benar keputusan DNAA tersebut dibuat berdasarkan fakta dan pertimbangan undang-undang yang kukuh, maka kerajaan dan pihak Ahmad Zahid tidak seharusnya takut terhadap proses semakan kehakiman ini.

“Rakyat berhak mengetahui rasional sebenar di sebalik keputusan yang dibuat oleh pihak pendakwaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menegaskan, Malaysia tidak boleh membiarkan persepsi bahawa DNAA digunakan secara berbeza mengikut golongan tertentu, terutama apabila rakyat biasa dihukum atas kesalahan kecil, manakala pemimpin tertinggi kerajaan dilihat menerima layanan berbeza dalam kes melibatkan jutaan ringgit.

Menurutnya, persepsi sedemikian boleh menghakis keyakinan rakyat terhadap prinsip keadilan dan kesaksamaan di sisi undang-undang.

Sehubungan itu, Armada Bersatu Malaysia mendesak Jabatan Peguam Negara supaya tidak membuang masa dan wang rakyat dengan membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan tersebut, sebaliknya membiarkan proses perundangan berjalan demi menegakkan kebenaran. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast