KUALA LUMPUR – Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) memberi amaran keras supaya jangan ada lagi mana-mana pihak yang cuba menipu, menyembunyikan kebenaran, atau memanipulasi fakta berhubung isu ternakan babi di Selangor.
Setiausaha Agungnya, Mohd Wafiyuddin Al-Awal Musa berkata, sebarang cubaan untuk mengaburi mata rakyat sama ada mengenai realiti pencemaran alam sekitar yang sedang berlaku mahupun status sebenar pematuhan penutupan ladang-ladang tersebut adalah satu pengkhianatan yang tidak boleh dimaafkan.
Katanya, segala taktik memutar belit kenyataan demi menjaga kepentingan industri tertentu atau kelangsungan politik sempit mesti dihentikan serta-merta.
“Kerajaan Negeri Selangor serta agensi-agensi penguatkuasa yang bertanggungjawab dituntut untuk bersikap telus, jujur, dan berintegriti penuh dalam melaksanakan titah penyelesaian tuntas ini tanpa sebarang dolak-dalik,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, ujarnya, GPMS menjunjung ketegasan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mengekalkan pendirian baginda agar sebarang aktiviti penternakan babi dihentikan dan dimuktamadkan sepenuhnya di seluruh Selangor.
Menurutnya, titah baginda itu bukanlah satu pandangan semberono, sebaliknya cerminan keprihatinan mendalam seorang raja terhadap kesejahteraan rakyat jelata.
Tegasnya, GPMS memandang serius amaran baginda mengenai risiko pencemaran tanah, udara, serta kualiti air sungai akibat pelepasan najis dan sisa kumbahan babi.
“Ancaman terhadap kelestarian kawasan tadahan air yang menjadi urat nadi pembekalan air bersih kepada kira-kira 9 juta penduduk di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, dan Putrajaya adalah satu krisis kesihatan dan keselamatan awam yang sama sekali tidak boleh dikompromi demi kelangsungan hidup rakyat,” katanya.
Sehubungan itu, tambah beliau, sebagai menterjemahkan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada kedaulatan Institusi Raja-Raja Melayu, GPMS turut menyeru seluruh mahasiswa, belia, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), serta rakyat yang taat setia untuk bangkit melalui Himpunan Menjunjung Kasih & Sokong Titah Sultan Selangor.
Menurutnya, himpunan aman ini adalah manifestasi jelas bahawa rakyat sentiasa menjadi benteng kukuh di belakang sultan, dan akan terus menolak anasir-anasir yang berani mencabar institusi diraja
“GPMS berikrar akan terus menjadi barisan pertahanan hadapan dalam mendaulatkan agama Islam, mempertahankan kelangsungan bangsa Melayu, dan memelihara kesucian kedaulatan Raja-Raja Melayu demi keharmonian tanah air tercinta,” katanya. – MalaysiaGazette
















