KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Pas Negeri Melaka (DPPNM) semalam membuat laporan polis berhubung dakwaan tular membabitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas pembantunya, Datuk Seri Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.
Laporan tersebut dibuat di Balai Polis Bukit Baru oleh Pengarah Jabatan Media Baru (UMED) DPPNM, Zulhilmi Aziz Abdul Hannan bersama Ketua Penerangan DPPNM, Anas Abdullah susulan penularan rakaman video yang mengandungi dakwaan berkaitan penghantaran wang ke luar negara termasuk ke Afrika.
DPPNM dalam kenyataannya berkata, isu berkenaan tidak boleh dipandang ringan kerana ia menimbulkan persoalan serta keresahan dalam kalangan rakyat.
“Pihak yang disebut dalam video terbabit perlu tampil memberikan penjelasan dan penafian secara terbuka bagi mengelakkan spekulasi terus berleluasa. Bukan sekadar membuat penafian sahaja,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, DPPNM turut mendesak polis dan pihak berkuasa berkaitan menjalankan siasatan secara telus, bebas serta menyeluruh bagi memastikan kebenaran dapat ditegakkan.
Katanyanya, tindakan itu penting demi memelihara keyakinan rakyat terhadap institusi negara. – MalaysiaGazette
















