MELAKA– Kerajaan akan mengaktifkan Pusat Komuniti Desa (PKD) di seluruh negara bersama inisiatif Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) bagi memperluaskan manfaat program pembangunan masyarakat luar bandar.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, ketika ini terdapat lebih 190 PKD di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang boleh diselaraskan dengan program NADI pada fasa seterusnya.
Menurut beliau, penyelarasan dan koordinasi aktiviti itu diyakini mampu membuka lebih banyak peluang kepada rakyat terutama di kawasan luar bandar untuk memanfaatkan pelbagai program pembangunan ekonomi dan keusahawanan digital.
“KKDW dalam satu mesyuarat baru-baru ini telah memohon supaya PKD juga diaktifkan bersama NADI.
“Terdapat lebih 160 PKD di bawah KKDW di seluruh negara dan kita lihat pada fasa seterusnya bagaimana kita boleh selaraskan serta koordinasikan aktiviti bagi menambahkan lagi peluang kepada rakyat memanfaatkan program-program di NADI,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan NADI Telok Mas dan Penyerahan Watikah Pelantikan Panel Penasihat NADI Melaka di Taman Seri Telok Mas di sini hari ini.
Menurut Fahmi, antara program yang memberi impak besar kepada masyarakat ialah program keusahawanan digital menerusi kerjasama bersama platform e-dagang seperti TikTok Shop dan Shopee.
Katanya, program itu bukan sahaja memberi pendidikan berkaitan pemasaran digital malah membantu meningkatkan jualan usahawan luar bandar.
“Saya nampak ada beberapa usahawan di sini pernah dipanggil menyertai program bersama Shopee dan mereka berjaya. Ada sesetengah usahawan di NADI seperti di Morib, Selangor, pendapatannya jauh lebih tinggi daripada seorang menteri,” tambahnya.
Beliau berkata, kejayaan itu membuktikan masyarakat tidak perlu berada di kawasan bandar untuk berjaya sebagai usahawan kerana peluang ekonomi digital kini lebih terbuka.
“Ini akan menjadi keutamaan kita untuk meningkatkan tahap sosioekonomi masyarakat setempat terutama di kawasan luar bandar,” katanya. – MalaysiaGazette
















