KUALA LUMPUR – Titah serta pendirian Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam isu ternakan babi tidak boleh disalahertikan sebagai suatu bentuk campur tangan yang bercanggah dengan prinsip Raja Berperlembagaan.
Sebaliknya, Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, Sultan Selangor merupakan Ketua Negeri dan mengetuai struktur pemerintahan Negeri Selangor menurut kerangka Undang-Undang Tubuh Negeri.
“Bahagian 3 Perkara 50 Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor memperuntukkan otoriti eksekutif Negeri adalah terletak kepada DYMM Sultan dan boleh dilaksanakan, melainkan dinyatakan di dalam Perlembagaan Persekutuan atau Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor, oleh baginda ataupun Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri ataupun mana-mana ahlinya yang diberi kuasa oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, tetapi fungsi eksekutif boleh secara undang-undangnya diberikan kepada orang atau pihak lain,” katanya menerusi Facebook hari ini.
Zainul Rijal yang juga peguam menambah, dalam konteks itu, Sultan Selangor mempunyai tanggungjawab perlembagaan untuk memastikan pentadbiran negeri berjalan dengan teratur, stabil dan mengambil kira kepentingan rakyat serta negeri secara keseluruhannya.
Ujar beliau, sebagai Ketua Negeri, Sultan Selangor bukan sahaja simbol perpaduan dan kedaulatan negeri, malah baginda juga mempunyai peranan penting dalam memastikan dasar serta tindakan kerajaan negeri sentiasa selaras dengan kepentingan awam, kesejahteraan rakyat dan keharmonian negeri.
“Ituah matlamat eksekutif. Justeru, pandangan dan titah baginda dalam isu yang memberi implikasi besar kepada rakyat dan negeri adalah wajar dihormati serta diberikan perhatian sewajarnya oleh semua pihak,” katanya.
Sehubungan itu, tambah beliau, semua pihak adalah wajib menghormati, menjunjung serta mematuhi titah Sultan Selangor dengan penuh tertib dan tanggungjawab.
Jelasnya, dalam sistem Raja Berperlembagaan, institusi kesultanan merupakan tonggak kestabilan, perpaduan dan keharmonian negeri yang wajib dihormati oleh seluruh lapisan masyarakat.
“Adalah diharapkan agar semua pihak mengelakkan polemik yang boleh mencetuskan ketegangan atau keresahan awam, dan sebaliknya memberikan kerjasama konstruktif demi menjamin kepentingan negeri serta kesejahteraan rakyat secara keseluruhannya,” katanya.
Terdahulu, ujar beliau, titah Sultan Selangor berkait isu itu mencerminkan kebijaksanaan, keprihatinan serta tanggungjawab baginda sebagai Ketua Negeri dan Ketua Agama Islam dalam memastikan kepentingan awam, kelestarian alam sekitar, keselamatan sumber air serta keharmonian rakyat sentiasa terpelihara.
Katanya, dari sudut perundangan dan tadbir urus, pendirian baginda adalah selaras dengan prinsip pencegahan mudarat (preventive approach) yang diiktiraf dalam pelbagai kerangka undang-undang berkaitan alam sekitar, kesihatan awam dan kesejahteraan masyarakat. – MalaysiaGazette
















